WiEX 2025 Perkasa Wanita, Dari Tempatan Ke Global – Shahrizat
KUALA LUMPUR, 10 Jun – Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA) berbesar hati menganjurkan Forum Women in Export: From Local to Global (WiEX) 2025, sebagai platform direka khas bertujuan memperkasa wanita yang berkecimpung dalam bidang perdagangan antarabangsa.
Dianjurkan di Menara Matrade hari ini ia menawarkan peluang yang tidak ternilai untuk wanita memperluaskan jaringan perniagaan dengan pakar-pakar dalam industri, menimba dan menambah ilmu, bertukar-tukar pandangan dan mendapat inspirasi dari pemain industri yang telah berjaya dan berpengalaman.
WiEX 2025 yang bertemakan ‘Dari Tempatan Ke Global’ merupakan julung kalinya diadakan HAWA Malaysia bersama MATRADE.
Pengerusi HAWA, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil memaklumkan MATRADE dalam melonjak industri halal telah memberi impak yang begitu positif kepada usahawan wanita.
“Saya difahamkan, sebanyak 135 syarikat wanita menyertai MIHAS 2024, manakala 285 syarikat wanita menyertai INSP MIHAS (International Sourcing Program) secara fizikal dan 96 syarikat menyertai INSP MIHAS secara maya.
“Banyak jenama produk usahawan wanita telah berjaya menembusi pasaran global dengan produk yang inovatif.
“Kita juga rasa gembira kerana saiz pasaran kosmetik halal global yang telah mencapai USD $33.3 billion dalam tahun 2023 sudahpun diterokai oleh wanita. Lebih daripada 430 syarikat kosmetik dan lebih daripada 6,513 produk kosmetik di Malaysia telahpun mendapat persijilan halal di bawah JAKIM,” katanya ketika ucapan aluan.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata begitu juga dengan pasaran makanan (F&B) halal global yang nilainya telah mencecah USD$2 trillion, dan dijangka akan mencapai USD$3.9 trillion pada tahun 2027.
“Ramai wanita Malaysia yang terlibat secara aktif dalam industri F&B halal melalui pengeluaran dan pasaran pelbagai jenis produk makanan,” ujar beliau.
Beliau dalam pada itu meluahkan penghargaan dengan penubuhan Women in Trade and Industry (WITI) bersama HAWA, disusuli Jawatankuasa Penggerak WITI.
Menurut Shahrizat, JKK WITI telah melonjakkan semangat dan menjadi sumber inspirasi serta perangsang kepada ahli ahli untuk mencetuskan idea, merancang dan melaksana pelbagai inisiatif, program dan aktiviti.
“Proses ini telah membina jalinan dan jaringan kerja yang kukuh serta mengujudkan sikap kerja berpasukan dan esprit de corp dalam kalangan ahli-ahli dan wanita secara umumnya. Ia menghasilkan impak yang begitu tinggi kearah pemerkasaan wanita,” ujar beliau.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri merangkap Penaung HAWA, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi MATRADE; Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta kepimpinan HAWA. – UMNO Online