Nahas Bas Di Gerik, BN Rakam Ucapan Takziah
KUALA LUMPUR, 10 Jun – Barisan Nasional (BN) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas bas yang berlaku awal pagi Isnin di Gerik, Perak, melibatkan para pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan bahawa BN menzahirkan rasa simpati kepada keluarga 15 mangsa yang terkorban dalam tragedi menyayat hati itu.
“BN mendoakan agar mereka yang cedera segera diberi kesembuhan dan dapat kembali menjalani kehidupan serta pengajian seperti sediakala,” ujar beliau.
Beliau turut menyatakan harapan agar ahli keluarga mangsa diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian berat tersebut.
Dalam kenyataan sama, maklumnya, BN turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus memberikan bantuan dan sokongan semasa dan selepas kejadian.
Antara yang disebut ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kerajaan Negeri Perak, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), serta orang awam.
“Sama-sama kita menzahirkan sokongan dan terus berdoa agar segala urusan mangsa dan keluarga yang terkesan dipermudahkan,” tambahnya. – UMNO Online