Bung Moktar Gesa Pantau Operasi Ops Gasak, Elak Kekeliruan
KUALA LUMPUR, 10 Jun – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berharap operasi penguatkuasaan Ops Gasak dilaksanakan dengan telus bagi memastikan sebarang kelemahan atau kekeliruan tidak disembunyikan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu memastikan ia ditangani secara terbuka dan bertanggungjawab.
“Rakyat Sabah, khususnya para peniaga kecil dalam sektor makanan, kini berada dalam keadaan gelisah dan tidak pasti terhadap langkah KPDN yang mewajibkan penggunaan silinder gas petroleum cecair (LPG) komersial bagi premis makanan.
“Kebimbangan ini berpunca daripada kekurangan maklumat yang jelas dan menyeluruh mengenai pelaksanaan operasi Ops Gasak, sekali gus menimbulkan salah faham dan keresahan dalam kalangan pengusaha makanan kecil,” katanya menerusi satu kenyataan.
Bung dalam pada itu turut sama menuntut agar KPDN segera menangani kebimbangan ini dengan pendekatan yang lebih inklusif dan mesra peniaga.
Katanya ini kerana adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri juga untuk bertindak proaktif dalam menjelaskan perkara ini kepada rakyat, khususnya dalam menyediakan maklumat lengkap serta membantu para peniaga kecil dalam proses permohonan Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB).
“Tindakan ini bukan sahaja akan memperkukuh pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan, malah akan memelihara kelangsungan perniagaan kecil yang menjadi nadi ekonomi tempatan.
“Sekiranya kerajaan berpendirian bahawa penggunaan gas memasak domestik tidak sesuai bagi premis makanan tertentu, maka garis panduan serta syarat-syarat pelaksanaan harus dinyatakan dengan terperinci dan telus bagi mengelakkan kekeliruan serta ketidakadilan dalam pelaksanaan,” ujar beliau.
Bung berkata keseimbangan antara penguatkuasaan peraturan dan keprihatinan terhadap realiti di lapangan adalah asas kepada kecekapan pentadbiran dan kesejahteraan rakyat.
“Saya menyeru semua pihak yang terlibat untuk menampilkan komitmen yang lebih tinggi dalam menangani isu ini secara menyeluruh, adil dan berhemah,” katanya lagi. – UMNO Online