Buku Panduan Naratif: Lahirkan Kesatuan Tangkis Hujah Pihak Lawan – Mohd Zaidi
KUALA LUMPUR, 10 Jun – Buku Panduan Naratif yang dilancarkan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said pada Isnin dilihat dapat melahirkan kesatuan dalam menangkis hujah pihak lawan.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain berkata, buku tersebut merupakan satu pembaharuan dan pendekatan yang positif kepada semua pemimpin di peringkat bahagian.
“Alhamdulilah, inisiatif yang dibuat oleh Penerangan UMNO Malaysia dengan mengeluarkan Buku Panduan Naratif sempena persidangan UMNO Bahagian-Bahagian yang sedang berlangsung ini saya kira sebagai satu pembaharuan dan pendekatan positif kepada para pemimpin di peringkat bahagian.
“Kita bercakap atas satu nada, dengan satu naratif untuk mengukuhkan kedudukan UMNO, di samping mematikan hujah pihak lawan. Ini kerana kesatuan, kalau kita berpecah belah, kita lemah.
“Dalam konteks Negeri Selangor, saya lihat kalau kita satukan wadah perjuangan bahagian-bahagian bersama hujah ataupun naratif yang hendak dibawa dalam setiap persidangan, ia akan melahirkan satu ketumbukan. Ini yang penting,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bangi berkata, naratif yang dirangka tersebut turut menjadi panduan kepada jawapan berpadu dalam memberikan penerangan kepada rakyat.
“Maknanya kalau kita berpecah… setiap bahagian ada cerita masing-masing, isu tempatan dan tidak memfokuskan kepada perbahasan di peringkat massa dan jawapan yang konkrit daripada semua bahagian (untuk isu).
“Jadi, naratif ini menjadi satu panduan kepada seluruh bahagian supaya kita dapat kumpulkan intipati jawapan kepada satu petunjuk yang mana akhirnya akan menyedarkan rakyat.
“Kalau setiap orang bercakap perkara berlainan, rakyat akan keliru. Tetapi, kalau kita bercakap perkara yang sama, rakyat akan lebih fokus dan memahaminya dengan mudah. Ia akan memberi jawapan kepada apa sahaja persoalan yang dimainkan oleh pihak lawan,” katanya lagi.
Pada Isnin media melaporkan Azalina berkata, Buku Panduan Naratif Penerangan UMNO Malaysia merupakan sebuah pendekatan komunikasi politik sehingga ke akar umbi.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata, ia turut menjadi panduan kepada para pemimpin di peringkat bahagian untuk menyeragamkan naratif dibawa terutamanya ketika Mesyuarat UMNO Bahagian seluruh negara yang kini berlangsung. – UMNO Online