Ahmad Zahid Teliti Persiapan Akhir Sambutan Hari TVET Negara 2025

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini meneliti persiapan akhir bagi Sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2025 yang akan berlangsung mulai esok hingga 13 Jun di Melaka International Trade Centre (MITC).

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara mempengerusikan Mesyuarat Pemandu Sambutan Hari TVET Negara 2025 bersama pelbagai kementerian dan agensi bagi memastikan kelancaran acara tahunan itu yang dijangka menarik lebih 150,000 pengunjung dari seluruh negara.

“Dengan tema “TVET Pilihan Utama Kerjaya”, sambutan kali ini merupakan satu gelombang perubahan minda dengan lebih 5,000 peluang pekerjaan ditawarkan, ratusan pempamer, sesi kerjaya, pertandingan kemahiran serta pelbagai ruang interaktif dan inklusif buat anak muda, ibu bapa dan masyarakat umum.

“Untuk sambutan tahun ini, saya menjangkakan kehadiran melebihi 150,000 pengunjung. Ini memberi petunjuk jelas bahawa pendidikan kemahiran semakin diterima dan diyakini sebagai laluan masa depan yang kukuh, berdaya saing dan selari dengan agenda nasional negara,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Ujarnya, sambutan itu bakal diserikan dengan perasmian rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 12 Jun, yang dijangka akan mengumumkan dasar strategik baharu bagi memperkasa lagi agenda TVET negara.

“Pada 12 Jun nanti, Perdana Menteri akan menyempurnakan perasmian rasmi sambutan ini, yang turut disertai pengumuman dasar strategik untuk memperkasakan lagi agenda TVET negara.

“Justeru, saya ingin mengajak semua rakyat Malaysia khususnya pelajar, pencari kerja, para usahawan dan warga industri untuk hadir dan menyertai sambutan ini. Rebut peluang, raih ilmu dan jalin jaringan.

“Semoga segala usaha ini mendapat keberkatan dan dipermudahkan oleh Allah SWT,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79