Ahmad Zahid Iring Sambut Lawatan Rasmi Presiden Poland, Andrzej Duda

PUTRAJAYA, 10 Jun – Malaysia hari ini menyambut ketibaan Presiden Republik Poland, Tuan Yang Terutama (TYT) Andrzej Duda dalam satu Istiadat Sambutan Rasmi yang berlangsung di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya.

Beliau disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pukul 10 pagi sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mengiringi Perdana Menteri dalam majlis istiadat tersebut yang menandakan hubungan diplomatik erat antara kedua-dua negara.

“Lawatan rasmi ini amat bermakna kerana ia merupakan kunjungan pertama TYT Andrzej Duda ke negara kita sejak dilantik pada tahun 2015, dan berlangsung pula dalam tahun yang bersejarah di mana Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, manakala Poland pula memegang jawatan Presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU) bagi separuh pertama tahun ini,” kata Ahmad Zahid menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Ujarnya, lawatan ini bertujuan memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Poland yang telah terjalin sejak 1971, berasaskan semangat saling menghormati dan kerjasama erat.

“Tahun lalu sahaja, nilai dagangan dua hala kita meningkat sebanyak 19.5 peratus, mencecah RM5.66 bilion berbanding tahun 2023, satu petanda jelas bahawa hubungan ekonomi kita semakin rancak dan berpotensi besar untuk terus berkembang.

“Insya-Allah, saya percaya hubungan erat ini akan membuka ruang yang lebih luas kepada kerjasama yang bermanfaat untuk rakyat kedua-dua negara.

“Semoga kunjungan ini membawa impak positif dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai rakan dagang dan rakan strategik yang diyakini di peringkat global,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79