Wan Rosdy Seru Ahli UMNO Bersatu, Perkukuh Parti Sempena Persidangan Bahagian
KUALA LUMPUR, 9 Jun – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru seluruh ahli dan perwakilan UMNO supaya menjadikan persidangan UMNO Bahagian yang bermula hari ini sebagai medan terbaik untuk memperkukuhkan semangat perjuangan serta membina semula kekuatan parti.
Dalam perutusan sempena persidangan menerusi laman Facebooknya, beliau mengajak semua perwakilan agar bermuafakat dan berbincang secara berhemah demi memperkukuh kesepaduan parti.
“Inilah medan terbaik untuk kita bermuafakat, berbincang dengan penuh hikmah dan memperkukuh semangat perjuangan,” katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya menjadikan mesyuarat sebagai platform subur bagi melontarkan idea-idea baharu, serta menerapkan sikap terbuka dalam menerima pandangan dengan semangat kekeluargaan UMNO yang utuh.
“Saya menyeru kepada seluruh ahli agar kita tampil sebagai satu pasukan yang bersatu hati dan sepakat fikiran,” ujarnya lagi.
Menurut beliau yang juga Menteri Besar Pahang, kebangkitan bersama amat diperlukan untuk memastikan UMNO terus kekal relevan, dihormati dan dipercayai rakyat demi agama, bangsa dan tanah air.
Beliau mengakhiri kenyataannya dengan menyeru ahli parti untuk terus menghayati slogan keramat UMNO iaitu ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’. – UMNO Online