Pemuda UMNO Rakam Takziah Atas Insiden Bas Melibatkan Pelajar
KUALA LUMPUR, 9 Jun — Pemuda UMNO Malaysia menzahirkan rasa dukacita mendalam susulan insiden kemalangan bas yang melibatkan pelajar-pelajar di Jalan Raya Timur Barat berhampiran Tasik Banding, awal pagi tadi.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Hairi Mad Shah dalam satu kenyataan menyampaikan ucapan takziah dan simpati kepada semua keluarga, waris serta mangsa yang terlibat dalam tragedi menyayat hati itu.
“Saya amat sedih dan terkesan dengan kejadian ini yang telah meragut nyawa serta mencederakan beberapa individu, khususnya para pelajar yang sepatutnya sedang meniti usia harapan dan masa depan,” ujarnya.
Beliau menyifatkan para pelajar bukan sekadar penuntut ilmu, malah permata bangsa dan harapan negara untuk masa depan yang lebih cerah.
Dalam kenyataan itu, beliau turut memberi jaminan bahawa Pemuda UMNO Malaysia memberikan sepenuh kepercayaan dan kerjasama kepada pihak berkuasa serta Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dalam menyiasat punca kejadian serta menyalurkan bantuan sewajarnya.
“Doa kami mengiringi setiap mangsa yang terkesan. Semoga roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Buat yang masih dirawat, kami doakan agar mereka diberikan kesembuhan yang segera,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru semua pihak agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan mematuhi undang-undang jalan raya, terutamanya apabila melibatkan pelajar dan golongan muda.
Mengakhiri kenyataannya, Mohd Hairi menegaskan bahawa dalam kesedihan keluarga mangsa, seluruh anggota Pemuda UMNO turut bersedih dan akan terus bersama-sama mereka dalam doa serta sokongan moral. – UMNO Online