Nahas Bas: Naib Ketua Wanita UMNO Ucap Takziah, PTPTN Sedia Bantu Keluarga Mangsa
KUALA LUMPUR, 9 Jun – Naib Ketua Wanita UMNO merangkap Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi nahas bas yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi tadi.
Dalam kenyataan menerusi media sosialnya, Norliza menyifatkan insiden itu sebagai satu tragedi yang amat menyayat hati dan merobek perasaan rakyat Malaysia, khususnya keluarga mangsa.
“Pemergian seramai 15 insan muda dalam tragedi ini bukan sahaja mengejutkan, bahkan merobek perasaan kita semua. Mereka adalah anak-anak harapan negara sedang dalam perjalanan menuntut ilmu, membawa impian keluarga, dan mewakili harapan bangsa,” ujarnya.
Beliau turut mendoakan agar keluarga mangsa dikurniakan kekuatan luar biasa dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini, selain mendoakan kesembuhan buat mereka yang masih menerima rawatan akibat nahas berkenaan.
“Saya pasti ada hati yang remuk, jiwa yang hilang arah, dan tangisan yang tidak pernah kering. Namun dalam kepedihan ini, saya doakan agar keluarga mangsa diberi kekuatan luar biasa untuk melalui hari-hari yang mendatang,” katanya.
Sebagai Pengerusi PTPTN, Norliza turut memberi jaminan bahawa agensi itu komited untuk membantu meringankan beban keluarga yang terkesan, khususnya jika mangsa terlibat merupakan peminjam PTPTN.
“PTPTN komited untuk memberikan pelepasan terbaik yang sewajarnya. Bantuan dan sokongan yang sesuai juga akan disalurkan bagi meringankan beban keluarga yang sedang berduka,” katanya.
Beliau turut menzahirkan harapan agar roh semua mangsa yang terkorban dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan para syuhada serta solihin. – UMNO Online