Dr Asyraf Ziarah Mangsa Kemalangan Bas Libatkan Pelajar UPSI, Salur Bantuan Segera
GERIK, 9 Jun — Pengerusi Majlis Amanah Rakyat merangkap Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini mewakili Timbalan Perdana Menteri dan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) menziarahi mangsa-mangsa kemalangan bas yang melibatkan pelajar-pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat, berhampiran Tasik Banding, awal pagi tadi.
Menurut beliau, insiden tersebut amat menyayat hati, apatah lagi apabila bertemu sendiri dengan ahli keluarga mangsa di Hospital Gerik.
“Hati saya amat tersentuh melihat keadaan mangsa serta bertemu dengan ahli keluarga mereka. Lebih memilukan, ada dalam kalangan mereka baru menerima khabar kehilangan insan tersayang sejurus tiba di lokasi kejadian setelah menempuh perjalanan dari Jerteh,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.
Bagi meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga mangsa, YPM telah menyalurkan bantuan kilat sebanyak RM1,000 kepada setiap pelajar yang terlibat dalam kemalangan berkenaan.
Bantuan tersebut telah disampaikan sendiri oleh Dr Asyraf kepada beberapa keluarga mangsa yang terkorban, selain turut melawat mangsa-mangsa yang terselamat di hospital.
“Doa kami mengiringi semua mangsa agar diberi kekuatan dan kesembuhan segera. Semoga keluarga yang kehilangan insan tersayang terus tabah menghadapi ujian yang amat berat ini,” tambah beliau lagi. – UMNO Online