Buku Panduan Naratif: Pendekatan Komunikasi Politik Hingga Ke Akar Umbi – Azalina
KUALA LUMPUR, 9 Jun – Buku Panduan Naratif Penerangan UMNO Malaysia yang dilancarkan pada hari ini merupakan sebuah pendekatan komunikasi politik sehingga ke akar umbi, kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata, ia turut menjadi panduan kepada para pemimpin di peringkat bahagian untuk menyeragamkan naratif dibawa terutamanya ketika Mesyuarat UMNO Bahagian seluruh negara yang kini berlangsung.
“Ini merupakan sebuah buku naratif yang kita bentukkan untuk Mesyuarat UMNO Bahagian. Kita dalam UMNO ini daripada dahulu ada ramai ahli dan merupakan parti yang mempunyai pelbagai jenis kepimpinan di peringkat bahagian termasuk sayap. Kadangkala naratif yang dibawa berlainan, tertakluk kepada bahagian dan negeri tersebut.
“Kalau naratif di Terengganu, Kedah dan Kelantan… UMNO kita di sana mungkin berlainan dari Johor dan Melaka. Jadi, buku panduan naratif ini ialah langkah yang kita boleh panggil sebagai fasa pertama untuk mewujudkan panduan kepada bahagian dalam mesyuarat terutama sekali bagi menekankan tentang beberapa elemen supaya disamakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Pelancaran Buku Panduan Naratif UMNO Malaysia di Menara Dato’ Onn, di sini, sebentar tadi.
Ujarnya, Buku Panduan Naratif tersebut lengkap dengan pelbagai peristiwa yang memerlukan penjelasan kepada akar umbi di samping membawa persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
“Isu kita dalam UMNO ini, kadangkala ahli-ahli parti ini mempunyai interpretasi tersendiri. Tetapi, buku naratif untuk Mesyuarat UMNO Bahagian ini khasnya, dibentangkan untuk melihat kepada segmen-segmen yang berlaku bermula daripada kekalahan kita pada PRU ke-14… kemudian masuk ke PRU ke-15 dan mungkin naratif inilah yang boleh membawa persediaan bahagian untuk depani PRU ke-16.
“Pendekatan kita dalam komunikasi politik ini mesti dibentangkan sehingga ke bawah (akar umbi). Harapan kita, Buku Panduan Naratif UMNO Malaysia ini menjadi langkah pertama kepada kefahaman kita terutamanya akar umbi, tentang sejarah yang membawa kita pada hari ini.
“Harapan saya dalam Penerangan UMNO Malaysia, naratif-naratif yang kita keluarkan ini akan digunakan pada siri-siri Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. Bermula di Sabah dan negeri-negeri lain pada tahun depan yang telah dibincangkan,” katanya lagi.
Untuk rekod, Azalina berkata buku tersebut diterbitkan hasil daripada kesedaran strategik bahawa landskap politik semakin kompleks yang memerlukan UMNO mempunyai satu naratif tersusun, terarah dan konsisten untuk membentuk semula keyakinan rakyat. –UMNO Online