Ahmad Zahid Ucap Selamat Bersidang UMNO Bahagian… Tekankan Politik Solusi, Legasi Dan Moderasi
KUALA LUMPUR, 9 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan selamat bersidang kepada seluruh perwakilan UMNO sempena persidangan tahunan parti yang bermula hari ini, 9 Jun hingga 27 Julai 2025.
Dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya, beliau menyeru semua perwakilan dari Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO agar hadir ke persidangan dengan kesungguhan dan iltizam yang utuh demi memperkukuh perjuangan parti berteraskan agama, bangsa dan tanah air.
“UMNO mesti terus menjadi suara yang jujur mendengar rintihan rakyat, menjiwai impian anak muda dan berdiri teguh walaupun zaman berubah. Kekuatan kita bukan hanya pada warisan sejarah, tetapi pada kesatuan hati dan kejelasan hala tuju,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa UMNO perlu memperkukuh tiga pendekatan utama yang digariskannya sebelum ini iaitu Politik Solusi, Politik Legasi dan Politik Moderasi, sebagai asas kepada tindakan dan keputusan parti di semua peringkat.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menzahirkan keyakinan bahawa selagi perjuangan digalas dengan keikhlasan dan jiwa yang bersih, UMNO akan terus kekal relevan sebagai wadah harapan rakyat serta tunjang kepada kestabilan dan kemajuan negara.
“Jadikanlah persidangan ini medan untuk memperteguh tekad dan memperbaharui janji perjuangan. Insya-Allah, UMNO akan tetap dan terus relevan,” ujar beliau.
Persidangan peringkat bahagian ini dilaksana sebagaimana rutin parti selepas jayanya mesyuarat peringkat Cawangan.
Kemudiannya, Perhimpunan Agung UMNO yang akan diadakan dari 20 Ogos hingga 23 Ogos 2025. – UMNO Online