UMNO Sabah Tampil Pendekatan Sederhana dan Realistik, Bukan Janji Kosong

KOTA KINABALU, 8 Jun – UMNO Sabah kini menampilkan pendekatan yang lebih sederhana dan realistik dalam usaha mendekati rakyat, sejajar dengan keperluan politik semasa yang menuntut keikhlasan, kejujuran dan kebertanggungjawaban, kata Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Ujarnya, menerusi program jelajah “Radu Tatap Radu – Radu Sampai Manang”, parti itu menekankan bahawa perjuangan politik bukan soal retorik atau populariti semata-mata, tetapi tentang kemampuan untuk memahami realiti rakyat dan menawarkan penyelesaian yang praktikal.

Salleh menegaskan bahawa rakyat Sabah kini lebih menilai berdasarkan tindakan dan rekod, bukannya janji manis atau kata-kata indah yang tidak berpijak di bumi nyata.

“UMNO Sabah tidak datang menjanjikan bulan dan bintang. Kita sedar kita bukan parti yang sempurna, tapi kita bersedia untuk belajar, membaiki, dan terus berusaha. Inilah pendekatan sederhana dan realistik yang kita pegang,” ujarnya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya.

Beliau berkata, parti itu mengambil sikap terbuka, tidak menyerang mana-mana pihak, sebaliknya memilih untuk mendengar, berdialog dan memberi penjelasan kepada rakyat secara matang.

“Kita percaya bahawa kejujuran lebih dihargai daripada retorik. Apa yang rakyat mahu adalah penyelesaian yang boleh dilaksanakan, bukan sekadar idealisme kosong,” tambahnya.

Program “Radu Tatap Radu”, yang digerakkan ke seluruh kawasan UMNO Sabah dan dipengerusikan oleh Datuk Yakubah Khan di bawah naungan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menjadi platform penting untuk menyatukan rakyat, merapatkan jurang, serta menarik kembali sokongan di peringkat akar umbi.

“Pendekatan kita bukan untuk mencari musuh atau menimbulkan ketegangan. Kita datang untuk mendengar dan menjelaskan. Kita percaya rakyat lebih menghargai kejujuran daripada retorik. Kita tidak menyerang sesiapa, kita hanya mengajak kepada perbandingan secara matang dan terbuka.

“Pengundi Sabah tidak mudah dipengaruhi dengan kata-kata kosong. Mereka menilai berdasarkan hati dan rekod. Kita tidak perlu menjanjikan bulan dan bintang. Cukup kita buktikan dengan apa yang telah, sedang, dan akan kita lakukan,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79