Sokong Usaha Bersama Presiden UMNO Bela Nasib Rakyat – Kamal Arifin
KUALA LUMPUR, 8 Jun – Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohd Kamal Arifin Mat Arsyad menyatakan sokongan padu terhadap tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam memastikan kebajikan rakyat terbela di sebalik cabaran ekonomi yang semakin mencabar.
Menurutnya, pendekatan inklusif yang diambil oleh Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri menunjukkan komitmen tinggi parti itu dalam mempertahankan hak dan kesejahteraan semua lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang.
“Kerjasama erat antara UMNO dengan pelbagai kementerian serta agensi kerajaan akan membuka lebih banyak ruang untuk pelaksanaan inisiatif yang mampu memberi impak langsung kepada kehidupan rakyat.
“Langkah-langkah proaktif seperti penyediaan bantuan bersasar, program latihan kemahiran dan insentif keusahawanan merupakan antara usaha berterusan yang wajar dipertingkatkan.
“Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, UMNO perlu terus relevan sebagai parti yang memperjuangkan kebajikan rakyat, dan bukan sekadar terlibat dalam wacana politik semata-mata,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, Kamal Ariffin menyarankan agar isu-isu tempatan seperti kemudahan asas, peluang pekerjaan dan pendidikan anak muda terus diberi penekanan dalam setiap perancangan pembangunan.
“Kita tidak boleh membiarkan rakyat terkapai-kapai. Tanggungjawab sosial perlu menjadi teras perjuangan politik, bukan hanya ketika pilihan raya.
“Melalui pendekatan menyeluruh dan dasar yang berpaksikan rakyat, UMNO akan terus menjadi wadah yang diyakini dan dihormati,” katanya lagi.
Kata beliau lagi, turut menegaskan bahawa kepimpinan yang berintegriti dan komited amat penting bagi memastikan segala inisiatif yang dirancang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
“Kita tidak boleh terus berada dalam zon selesa. Cabaran hari ini memerlukan pemimpin yang bukan sahaja cekap, tetapi juga ikhlas dalam berkhidmat. Politik hari ini bukan sekadar retorik, tetapi perlukan tindakan nyata yang mampu menyentuh kehidupan seharian rakyat.
“Semua pihak dalam parti bersatu padu dan mengutamakan agenda rakyat demi memastikan kestabilan politik dan pembangunan negara dapat diteruskan secara mampan,” ujarnya.
Beliau turut menyeru semua lapisan masyarakat untuk terus memberi sokongan kepada usaha kerajaan dalam memacu pembangunan negara, sambil menegaskan bahawa kerjasama erat antara pemimpin dan rakyat adalah kunci kepada masa depan yang lebih stabil dan sejahtera. – UMNO Online