Tun Mahathir Perlu Henti Jadi ‘Hantu Penghasut’, Pecah Belah UMNO – Veteran UMNO

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Veteran UMNO Malaysia hari ini menggesa Tun Dr Mahathir Mohamad supaya berhenti menjadi “hantu penghasut” yang cuba memecah belahkan UMNO dengan menyeru ahli-ahlinya meninggalkan parti keramat itu dan menyertai gabungan baharu yang didakwa bertujuan untuk penyatuan Melayu.

Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, berkata tindakan bekas Perdana Menteri itu yang suatu ketika dahulu meninggalkan UMNO dan menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah pun mencetuskan perpecahan dalam kalangan orang Melayu.

Kini, katanya, Tun Mahathir cuba sekali lagi menggugat UMNO dengan menyeru penyatuan di bawah ‘payung’ ciptaannya sendiri.

“Dendam beliau terhadap pimpinan UMNO mendorongnya untuk terus berusaha menghancurkan parti yang pernah mengangkatnya sebagai Perdana Menteri selama puluhan tahun,” tegas Mustapha.

Beliau turut menyelar tindakan Tun Mahathir yang didakwanya telah melupakan jasa dan pengorbanan UMNO terhadap dirinya.

“Tanpa UMNO, Tun Mahathir hanyalah seorang doktor biasa. Tapi hari ini, dia mahu menghapuskan UMNO. Dia memang jenis kacang lupakan kulit,” katanya lagi.
Mustapha menambah, walaupun menghormati usia Mahathir yang hampir mencecah 100 tahun, namun tingkah lakunya tidak melambangkan peribadi seorang negarawan tua yang disegani.

“Berhentilah menjadi hantu raya yang tidak bertuan. Ahli UMNO tidak akan terpedaya dengan ajakan Tun Mahathir. Payung UMNO sudah cukup besar untuk semua ahlinya berteduh – kita tidak perlukan payung ciptaan beliau,” ujarnya.

Beliau juga menyeru agar ahli-ahli UMNO terus kekal setia dan tidak termakan hasutan yang boleh melemahkan kekuatan parti. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79