Politik Emosi Jejas Kemajuan Melayu, Khaled Nordin Seru Pendekatan Rasional Dan Berilmu
KUALA LUMPUR, 6 Jun – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa bangsa Melayu perlu keluar daripada kepompong politik berasaskan emosi jika ingin mencapai kemajuan sebenar dalam pelbagai bidang termasuk teknologi, ekonomi dan ilmu pengetahuan.
Menurut beliau, politik yang terlalu bergantung kepada sentimen semata-mata hanya akan menjerumuskan orang Melayu ke lembah kelemahan dan kemunduran.
“Kalau kita ingin memajukan orang Melayu, kita perlu berhenti bermain politik yang berasaskan emosi semata-mata. Semua ini menjerumuskan bangsa Melayu ke lembah kelemahan dan kemunduran,” katanya dalam hantaran melalui laman X.
Dalam hal ini, Mohamed Khaled menyeru agar orang Melayu mengamalkan pendekatan politik yang rasional dan berteraskan nilai terbaik untuk memperkukuh kedudukan bangsa dalam persaingan masa hadapan.
Beliau turut menekankan bahawa sentimen semata-mata tidak akan membawa kejayaan dalam dunia yang semakin mencabar dan kompetitif.
“Sentimentalisme tidak akan memenangkan kita dalam persaingan teknologi, tarif, kemajuan ilmu, mahupun perniagaan masa hadapan. Orang Melayu mesti mempunyai kebolehsaingan, ilmu dan kemahiran yang unggul,” tambah beliau.
Mengulas mengenai hak dan kepentingan orang Melayu, Mohamed Khaled memberi jaminan bahawa ia terus kekal terpelihara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan institusi Raja-Raja Melayu yang bijaksana.
Namun, beliau turut melontarkan kritikan terhadap segelintir pemimpin Melayu yang masih terperangkap dalam pemikiran lama, yang menurutnya tidak lagi relevan dengan realiti generasi muda hari ini.
“Ancaman terbesar bangsa kita sebenarnya adalah pemikiran tua, mundur dan lapuk segelintir pemimpin Melayu yang tidak sedar bahawa Generasi X, Y, Z dan Alpha telah muncul. Mereka ini tidak dengan mudahnya terpedaya dengan politik emosi yang dibawa semata-mata untuk mendapatkan kuasa,” jelas beliau lagi.
Terdahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad dilapor telah mengumumkan satu jawatankuasa dikenali sebagai Sekretariat Orang Melayu dengan harapan untuk menghimpunkan orang Melayu Malaysia di bawah satu ‘payung besar’.
Sidang media itu turut disertai oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; serta beberapa pemimpin NGO Melayu.– UMNO Online