Malaysia Perkukuh Keselamatan Sekolah Di Platform Global Pengurangan Risiko Bencana – Ahmad Zahid

GENEVA, 6 Jun – Malaysia hari ini menegaskan komitmen jangka panjangnya terhadap keselamatan pendidikan dalam forum antarabangsa apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan kenyataan rasmi negara pada sesi Meja Bulat Menteri bertemakan “Keselamatan Sekolah” sempena Platform Global untuk Pengurangan Risiko Bencana di Geneva.

Ahmad Zahid menekankan bahawa Malaysia komited memperkukuh daya tahan sistem pendidikan melalui pelancaran Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030, yang diselaraskan dengan Kerangka Sendai.

Ujarnya, dasar ini memberi tumpuan kepada pendekatan menyeluruh merentas semua sektor termasuk keselamatan dan kelangsungan pendidikan.

“Antara inisiatif utama yang dikongsi termasuk pembangunan Modul Pendidikan DRR oleh Kementerian Pendidikan, UNICEF Malaysia dan NADMA yang akan memanfaatkan hampir 7,800 buah sekolah rendah di seluruh negara.

“Modul ini menekankan pembelajaran secara pengalaman, latihan amali dan penglibatan pelajar secara aktif, selaras dengan kerangka AADMER di bawah ASEAN. Bagi memastikan pelaksanaan yang menyeluruh, Malaysia juga meneroka kerjasama strategik bersama NGO, syarikat swasta dan GLC,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) oleh NADMA telah mencatat penyertaan hampir 44,000 rakyat Malaysia, termasuk lebih 12,000 belia sepanjang tahun 2024 iaitu satu pencapaian signifikan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kesiapsiagaan bencana.

“Saya turut berkongsi inisiatif Malaysia untuk membina Pusat Pemindahan Kekal (PPKB) di kawasan sekolah berisiko tinggi, dengan peruntukan sebanyak RM135 juta daripada Kerajaan Persekutuan.

Pusat ini akan berfungsi sebagai tempat perlindungan semasa bencana dan pusat pembelajaran komuniti pada waktu biasa. Malaysia turut menzahirkan kesediaan untuk berkongsi kepakaran dan membina kerjasama rentas negara dalam usaha memperkukuh keselamatan sekolah secara global.

Kami percaya bahawa pelaburan dalam daya tahan hari ini adalah perlindungan terbaik untuk masa depan anak-anak kita,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79