Aidiladha Lambang Pengorbanan, Keprihatinan Dan Semangat Kekeluargaan – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA, 6 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh umat Islam di Malaysia untuk menghayati semangat pengorbanan dan kepatuhan mutlak kepada Allah SWT sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1446 Hijrah.

Dalam perutusannya, beliau mengajak umat Islam untuk bermuhasabah dan mengambil iktibar daripada kisah agung Nabi Ibrahim A.S. dan Nabi Ismail A.S., yang menjadi simbol kasih sayang, ketaatan serta pengorbanan tanpa syarat kepada perintah Ilahi.

“Aidiladha di Malaysia lazimnya disambut dengan penuh kesederhanaan, namun ia sarat dengan makna kekeluargaan dan semangat saling membantu,” katanya yang juga Presiden UMNO menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Beliau turut menekankan bahawa ibadah korban yang dilaksanakan saban tahun bukan sahaja memenuhi tuntutan agama, malah menjadi simbol kepedulian sosial dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.

“Semoga semangat pengorbanan terus menjadi pegangan dalam setiap aspek perjuangan kita, sama ada dalam keluarga, masyarakat mahupun dalam usaha membangunkan negara tercinta ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menitipkan doa khusus buat para jemaah haji Malaysia yang kini berada di Tanah Suci, agar ibadah mereka diterima Allah SWT dan memperoleh haji yang mabrur.

“Saya ucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha 1446H kepada seluruh umat Islam di tanah air,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79