Ahmad Zahid Seru Umat Islam Manfaat Keberkatan Hari Arafah

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Sempena Hari Arafah, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengajak umat Islam untuk bersama-sama bermuhasabah membersihkan hati, menundukkan ego serta memperbaiki hubungan sesama manusia dan Allah SWT.

Ahmad Zahid berkata tanggal 9 Zulhijah setiap tahun adalah hari yang sangat istimewa dalam kalendar Islam kerana mengandungi keberkatan, keampunan dan rahmat daripada Allah SWT.

“Peliharalah diri, jaga adab dan teruslah menjadi insan yang memberi manfaat kepada orang lain. Semoga kita semua dikurniakan keampunan dan rahmat yang melimpah pada Hari Arafah ini, insya-Allah,” katanya dalam catatan di Facebook, yang turut mengucapkan selamat Hari Arafah kepada umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia.

Pada masa sama, beliau turut mengajak umat Islam di negara ini mengambil peluang hari yang penuh barakah ini untuk berpuasa sunat Hari Arafah berlandaskan sabda Rasulullah SAW selain memperbanyak doa, zikir, istighfar dan sedekah.

Dalam pada itu, beliau turut mendoakan agar perjalanan pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga tercinta berjalan dengan selamat dan diberkati.

Hari Arafah yang jatuh pada 9 Zulhijah setiap tahun adalah hari penting terutama kepada jemaah haji kerana pada tarikh ini, mereka akan berwukuf di Padang Arafah, yang juga kemuncak kepada ibadah haji. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79