UMNO Terus Diperkasa, Sekolah Patriotik Lonjak Nasionalisme Belia – Suhaimizan Bizar
KUALA LUMPUR, 5 Jun – UMNO terus menunjukkan nafas baharu apabila penyertaan anak muda semakin meningkat dalam pelbagai cawangannya di seluruh negara, khususnya selepas mesyuarat cawangan yang diadakan baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar berkata bahawa penambahan ahli baharu, terutama dalam sayap Pemuda dan Puteri UMNO, menjadi petanda jelas kebangkitan dalam kalangan generasi muda.
Katanya, sambutan menggalakkan itu merupakan petunjuk jelas bahawa UMNO terus mendapat kepercayaan dan perhatian generasi muda.
“Pasca mesyuarat cawangan UMNO yang diadakan baru-baru ini dapat melihat banyak cawangan-cawangan telah menambah keahlian terutamanya Puteri dan Pemuda mahupun menjadi ahli biasa. Ini jelas menunjukan bahawa UMNO sedang mendapat perhatian dan minat oleh anak-anak muda untuk menganggotai sayap-sayap parti.
“Sambutan ini mencerminkan kekuatan prinsip perjuangan UMNO yang terus kukuh dalam membela agama, bangsa dan tanah air selaras dengan slogan parti, ‘dulu, kini dan selamanya’. Parti ini bukan sekadar sebuah parti politik, tetapi juga entiti yang aktif turun padang dan menyantuni masyarakat.”
Ujarnya inilah masa untuk menggilap bakat muda agar mereka bukan sahaja menjadi penyokong, tetapi peneraju masa depan UMNO.
“Mereka perlu diberikan ruang dan kepercayaan untuk memimpin, kerana dalam tangan merekalah masa depan perjuangan UMNO akan diteruskan. Kita tidak boleh hanya melihat mereka sebagai pelapis, tetapi sebagai pemimpin yang sedang dibentuk hari ini untuk menjulang parti pada masa akan datang.” katanya kepada UMNO Online.
Tambah beliau, sekiranya anak muda terus diberi peranan, suara mereka akan membawa pembaharuan yang segar dan menjadikan UMNO lebih inklusif, progresif dan responsif terhadap cabaran semasa.
Suhaimizan yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia, menjelaskan penubuhan Sekolah Patriotik telah berjaya menarik minat golongan muda untuk menyertai perjuangan parti, sekali gus memperkukuh barisan pelapis kepimpinan masa depan.
“UMNO telah mewujudkan Sekolah Patriotik yang mendapat sambutan serta berjaya melahirkan pelapis parti, terutamanya dari kalangan Pemuda dan Puteri. Program tersebut bukan sahaja memberi pendedahan tentang nilai perjuangan parti, malah berjaya menyemai semangat cinta kepada negara dalam kalangan anak muda.
“Ia terus menarik minat generasi muda untuk bersama-sama berjuang dan memastikan parti ini terus disayangi serta kekal relevan dalam arus politik tanah air. Sekolah Patriotik berperanan penting dalam melahirkan kader-kader pemimpin yang berwibawa dan bersedia memimpin UMNO pada masa hadapan.
“Inisiatif ini akan menjadi landasan penting bagi membentuk kepimpinan pelapis yang memahami jatidiri perjuangan UMNO serta mampu membawa suara rakyat dengan penuh integriti dan tanggungjawab,” katanya lagi
Ujarnya, UMNO dilihat terus komited dalam memperkukuh struktur parti menerusi program pembangunan kepimpinan seperti Sekolah Patriotik, sebagai langkah memastikan kesinambungan perjuangan parti terus terpelihara. – UMNO Online