UMNO Sabah Tegas Tolak Politik Oportunis, Kekal Pertahan Prinsip – Suhaimi

LIBARAN, 5 Jun – UMNO Sabah tidak akan tunduk kepada permainan persepsi politik yang cuba dicipta oleh mana-mana pihak khususnya pihak lawan termasuklah mereka yang disifatkan sebagai tidak berprinsip dan oportunis.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir yang juga Ahli Parlimen Libaran berkata demikian dan menegaskan bahawa UMNO Sabah tidak gentar untuk bersuara walaupun bersendirian, namun tetap konsisten memperjuangkan prinsip dan menolak politik dua muka.

“UMNO-BN Sabah tidak akan tunduk kepada permainan persepsi. Kami kenal siapa lawan, siapa kawan, dan siapa yang berpura-pura berkawan untuk menikam dari belakang,” tegas beliau dalam satu kenyataan.

Terdahulu beliau membidas Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai, yang didakwa cuba mengalihkan perhatian rakyat melalui serangan peribadi terhadap Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan UMNO Sabah sendiri.

Menurut Suhaimi, sejarah politik Sabah membuktikan bahawa pemimpin seperti Joniston sendiri bermula melalui platform BN, namun memilih untuk meninggalkan parti ketika ia kehilangan kuasa, satu tindakan yang menurutnya menunjukkan ketiadaan prinsip dan kesetiaan sebenar.

“Kamu bukan siapa-siapa dalam politik Sabah jika tidak kerana platform BN. Bukan kerana kehebatanmu, tetapi kerana kekuatan payung besar BN yang mendukungmu, maka jangan terlalu ghairah bercakap soal kesetiaan.

“Politik kamu adalah politik oportunisme, mencari tempat yang selamat, bukan memperjuangkan prinsip. Jangan cuba mengalihkan perhatian rakyat dengan kritikan murahan. Politik tidak boleh dibina atas memori singkat.”

Mengulas lanjut, Suhaimi menegaskan bahawa rakyat Sabah bukan buta sejarah dan tahu menilai siapa yang benar-benar konsisten memperjuangkan rakyat, dan siapa yang hanya muncul apabila ada jawatan dan kuasa.

“Jika kamu benar setia, kamu tidak akan tinggalkan kapal semasa ribut, dan jika kamu benar memperjuangkan rakyat, kamu tidak akan gunakan kuasa untuk menutup pengkhianatan,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa UMNO Sabah tidak takut bersendirian, tetapi benci dibohongi oleh mereka yang berpura-pura setia demi kepentingan diri. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79