Transformasi Agenda MARA, Fokus Peluang Baharu di UK Dan Jerman – Dr Asyraf
KUALA LUMPUR, 5 Jun – Ramai pihak melahirkan rasa terkejut susulan pengumuman Majlis Amanah Rakyat (MARA) berhubung keputusan untuk menghentikan sementara penghantaran pelajar baharu ke Amerika Syarikat.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat selepas penelitian terhadap dasar dan polisi terkini Kerajaan Amerika Syarikat yang kini dilihat semakin ketat dan tidak menentu, khususnya dalam aspek halangan visa pelajar serta syarat-syarat baharu yang berpotensi menjejaskan keselamatan dan masa depan para pelajar Malaysia di sana.
“Bagi pelajar-pelajar sedia ada di Amerika Syarikat, dasar MARA kekal tidak berubah. Pihak MARA akan terus memantau perkembangan semasa dengan penuh teliti demi memastikan kebajikan mereka terus terpelihara,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.
Menurut beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO, keputusan ini bukanlah satu pengakhiran, malah membuka ruang kepada peluang baharu yang lebih lestari dan terjamin.
“Bak kata pepatah Inggeris, ‘when one door closes, another opens’. Alhamdulillah, kunjungan kerja saya baru-baru ini telah membuka peluang baharu yang amat signifikan. Beberapa universiti terkemuka di United Kingdom telah menyatakan kesediaan bukan sahaja untuk menerima pelajar-pelajar MARA, malah turut menawarkan potongan yuran pengajian sehingga 25 peratus, memberikan penjimatan melebihi RM105,000 bagi setiap pelajar,” jelasnya.
Beliau turut menyifatkan perkembangan ini sebagai satu ‘blessing in disguise’, kerana membuka laluan ke arah pendidikan yang lebih berkualiti dan diyakini masa depannya untuk anak-anak Malaysia.
“Kepada ibu bapa dan pelajar yang sebelum ini merancang untuk melanjutkan pengajian ke Amerika Syarikat, usah bimbang. Pihak MARA akan terus berhubung dan memberikan panduan bagi merangka perancangan alternatif yang lebih sesuai serta terjamin,” tambahnya.
Beliau turut berkongsi bahawa banyak universiti luar negara, termasuk di UK, telah menghubungi beliau dan MARA semasa lawatan kerja ke sana untuk menawarkan diskaun yuran pengajian, malah, sebuah universiti terkemuka yang dahulunya pernah menerima ramai pelajar MARA menawarkan potongan yuran sehingga 25 peratus apabila mengetahui bahawa MARA berjaya meyakinkan tiga universiti utama UK untuk memberikan diskaun sehingga 20 peratus.
“Kelmarin di University College London (UCL), yang merupakan antara 10 universiti terbaik di UK, Naib Presidennya sendiri menyatakan kesediaan untuk menawarkan diskaun kepada MARA sekiranya MARA menghantar lebih ramai pelajar cemerlang ke universiti mereka,” katanya.
Jelas beliau, dalam usaha memperkukuh masa depan graduan, MARA juga memperkenalkan pendekatan baharu dengan memfokuskan penghantaran pelajar ke universiti yang mempunyai hubungan strategik dan akrab dengan industri bagi memastikan mereka bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah memiliki kemahiran aplikasi yang tinggi.
Sebagai contoh katanya, MARA menggiatkan kerjasama dengan universiti-universiti terkemuka di Jerman dalam bidang teknologi tinggi kerana graduan dari Jerman dikatakan hampir seratus peratus berjaya mendapatkan pekerjaan, memandangkan lebih 500 syarikat Jerman beroperasi di Malaysia.
“Keutamaan MARA bukan sekadar memastikan pelajar mendapat pendidikan terbaik dalam bidang strategik berkepentingan negara masa depan, tetapi lebih penting dalam bidang yang menjamin pekerjaan bergaji premium kepada graduan MARA.
“Inilah antara agenda dan pelan transformasi MARA yang sedang kami usahakan. Semoga segala usaha ini dipermudahkan oleh Allah SWT. Insya-Allah, dengan iltizam dan kesungguhan bersama, lebih banyak pintu kejayaan akan terbuka buat anak bangsa kita,” katanya lagi. – UMNO Online