Seruan Penyatuan Melayu … Tun Mahathir Digesa Jangan Wariskan Perpecahan Politik

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Langkah Tun Dr Mahathir yang mengumumkan jawatankuasa sekretariat orang Melayu bukan sahaja menimbulkan pelbagai persoalan malah memperlihatkan hakikat yang sebenar sejarah sebelum ini.

Penolong Setiausaha Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin menerusi perkongsian di Facebooknya berkata generasi masa kini tidak seharusnya lagi dibebani dengan perpecahan politik yang sama sekali tidak menguntungkan.

“Saya setuju masyarakat Melayu perlu bersatu padu, tetapi mulakanlah dengan kumpulan elit politik seperti Tun dan yang lain-lain yang pernah sebumbung dan seacuan satu ketika dahulu.

“Generasi ini tidak berhak mewarisi apa-apa lagi perpecahan atas niat politik,” katanya.

Beliau seterusnya mengimbau bagaimana kecelaruan politik yang sehingga ke hari ini masih belum pulih sepenuhnya selepas kejatuhan BN.

“Kesemua hiruk-pikuk politik ini tidak akan berlaku jika bukan kerana perpecahan semasa pentadbiran di bawah Kerajaan PH 1.0 dahulu sewaktu Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri selepas Kerajaan BN ditumbangkan.

“Saya masih ingat, jika bukan kerana Tun Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan terus berpegang kepada perjanjian politik yang mereka persetujui sesama mereka (PPBM–PH), maka tidak adalah perubahan gagasan politik yang cukup besar dan ketara.

“Bagi saya, tidak akan ada ruang untuk apa-apa langkah menggantikan Tun Dr. Mahathir dan usaha membentuk gabungan kerjasama politik baharu. Tun juga mungkin tidak akan menubuhkan sebuah lagi parti politik baharu. Mungkin juga BN dan UMNO boleh kekal terus memberi perhatian sebagai pembangkang pada ketika itu,” ujarnya.

Tambah beliau setelah segala perpecahan, fragmentasi dalam ekosistem politik Malaysia, akhirnya hari ini atas nama Melayu diseru semula untuk bekerjasama.

“Saya rasa cukup tak kena. Penulisan dan pandangan saya tidak sedikit pun mengurangkan rasa hormat saya kepada Tun sebagai seorang negarawan yang berjasa dalam proses membina negara bersama UMNO satu ketika dahulu.

“Cuma saya secara peribadi rasa cukup tak kena setelah semua perpecahan yang berlaku atas tindakan politik Tun, hari ini Melayu diseru pula untuk kembali duduk di bawah satu payung.

“Kalau tidak dicarik-carik sehingga terpecah, pertelingkahan dan ketidakpersetujuan diurus secara bijaksana, mungkin Tun tidak perlu pun buat seruan seperti ini,” tambahnya.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan inisiatif baharu untuk menggabungkan orang Melayu di bawah satu payung besar yang dikenali sebagai Jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu. –  UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79