Semangat Kebersamaan Jadi Kunci Kejayaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat – Rais Yasin

TANGGA BATU, 5 Jun – Semangat kebersamaan dalam kalangan pemimpin akar umbi, jentera parti dan komuniti setempat menjadi faktor utama kejayaan pelaksanaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Sungai Udang yang berlangsung dari 18 hingga 30 Jun 2025.

Demikian kata Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu merangkap Exco Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin yang melaksanakan Majlis Makan Malam Penghargaan Kepimpinan malam tadi sebagai tanda penghargaan terhadap kerjasama erat ini.

Beliau menyifatkan kejayaan program tersebut sebagai bukti bahawa apabila semua pihak bersatu hati dan berganding bahu, matlamat bersama demi rakyat dapat dicapai dengan cemerlang.

“Dari peringkat perancangan hingga pelaksanaan, semangat kebersamaan yang ditunjukkan semua pihak telah menjadi asas kejayaan kita. Inilah kekuatan sebenar kita iaitu bersatu untuk rakyat,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kakitangan JAPERUN, Ahli-Ahli Majlis MBMB, para penghulu, kepimpinan JPKK, JPKKB, Ketua-ketua Cawangan dan sayap parti, KRT, sidang kampung serta parti komponen Barisan Nasional atas komitmen dan semangat setiakawan yang ditunjukkan.

Rais juga menegaskan bahawa nilai kebersamaan ini bukan hanya penting dalam konteks politik atau pentadbiran, tetapi menjadi nadi utama dalam usaha memakmurkan DUN Sungai Udang dan negeri Melaka secara keseluruhan.

“Insya-Allah, semangat ini akan terus kita semarakkan, demi kesejahteraan rakyat yang menjadi keutamaan kita semua. Terima kasih sekali lagi atas segala sumbangan tenaga dan komitmen semua yang amat saya hargai,” tambah beliau lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79