Sekretariat Orang Melayu Gimik Politik Lama… UMNO Cukup Lengkap Perjuang Agenda Bangsa

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar, menzahirkan penolakan terhadap penubuhan Sekretariat Orang Melayu yang diumumkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam, dengan menyifatkannya sebagai satu naratif lama yang berulang demi meraih kembali sokongan politik yang semakin merosot.

Sidang media yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri itu turut disertai oleh beberapa tokoh politik termasuk Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; serta beberapa pemimpin NGO Melayu, bagi memperkenalkan Sekretariat Orang Melayu yang dikatakan sebagai “payung besar” perjuangan Melayu.

Bagi Gulam Muszaffar yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu, penubuhan sekretariat tersebut bukanlah penyelesaian kepada masalah perpecahan orang Melayu, sebaliknya hanya lanjutan kepada perpecahan yang berpunca daripada serpihan parti asal UMNO.

“Kalau benar ikhlas ingin menyatukan orang Melayu, kenapa tidak dicadangkan agar semua parti serpihan seperti Pas, PPBM, Pejuang, dan PKR dibubarkan dan kembali kepada UMNO, seperti mana yang dilakukan oleh Semangat 46 dahulu?” katanya.

Gulam turut mengingatkan bahawa Tun M sendiri yang pernah bekerjasama dengan PKR dan Das dalam PRU14 untuk menumbangkan UMNO, dan hari ini bercakap soal perpaduan Melayu selepas landskap politik berubah.

“Tun M membuka jalan kepada Dap dan PKR menikmati kuasa. Setelah 22 bulan sebagai Perdana Menteri kerajaan PH 1.0, beliau ditumbangkan oleh kemnya sendiri iaitu termasuk Tan Sri Muhyiddin, Datuk Seri Hamzah dan Datuk Seri Azmin Ali atas alasan kononnya Melayu dan Islam tergugat. Ketika isu ICERD hangat dibantah, Tun M yang ketika itu memegang tampuk kuasa hanya membisu,” ujar beliau lagi.

Gulam juga menegaskan bahawa UMNO masih kekal sebagai wadah perjuangan Melayu yang sah dan kukuh di bawah kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Sebagai ahli UMNO, saya nyatakan ‘terima kasih tetapi tidak’ kepada jemputan Tun M untuk menyertai Sekretariat Orang Melayu. UMNO sudah cukup lengkap untuk memperjuangkan agenda Melayu dan Islam,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79