Memperkukuh Kerjasama Malaysia-UNDRR Dalam Usaha Pengurangan Risiko Bencana Global

GENEVA, 5 Jun – Malaysia terus komited dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam pengurangan risiko bencana global menerusi pertemuan strategik antara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu merangkap Ketua Pejabat UNDRR, TYT Kamal Kishore.

Pertemuan yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Geneva (CICG) itu memberi fokus kepada usaha memperkasa kerjasama antara Malaysia dan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pengurangan Risiko Bencana (UNDRR), dalam menghadapi cabaran bencana yang semakin kompleks, khususnya akibat perubahan iklim.

Ahmad Zahid menyatakan penghargaan kepada UNDRR atas peranannya dalam memperkukuh ketahanan global serta menzahirkan komitmen Malaysia dalam mempergiatkan kerjasama teknikal, kewangan dan latihan dalam bidang Pengurangan Risiko Bencana (Disaster Risk Reduction, DRR).

“Saya telah menzahirkan penghargaan kepada UNDRR atas peranan besarnya dalam memperkukuh ketahanan global dan menyampaikan komitmen teguh Malaysia terhadap kerjasama antarabangsa dalam pengurangan risiko bencana (DRR).

“Kami membincangkan peluang kerjasama teknikal, kewangan dan latihan yang dapat dimanfaatkan oleh Malaysia, selain bertukar pandangan tentang amalan terbaik di peringkat global yang boleh diadaptasi dalam dasar dan pelaksanaan DRR negara.

“Ini termasuk potensi sokongan terhadap pewujudan Akta Pengurangan Risiko Bencana Nasional, serta pembangunan sistem amaran awal yang lebih pintar, pemetaan risiko banjir yang lebih tepat dan pelaburan strategik dalam pendidikan kesedaran komuniti,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Dalam pertemuan tersebut, Ahmad Zahid turut berkongsi pengalaman negara dalam menguruskan banjir besar hujung tahun 2024 yang menjejaskan lebih 150,000 rakyat di sembilan negeri.

“Saya juga berkongsi pengalaman Malaysia dalam menghadapi banjir besar pada hujung tahun 2024 yang memberi kesan kepada lebih 150,000 rakyat di sembilan negeri sebagai satu pengajaran besar tentang pentingnya perancangan jangka panjang dan tindakan pencegahan yang berpaksikan sains dan data.”

Ujarnya, TYT Kamal Kishore turut memuji kecekapan pasukan SMART Malaysia dalam melaksanakan misi kemanusiaan dan operasi mencari serta menyelamat di Myanmar, yang disifatkan sebagai contoh kepimpinan bencana di peringkat serantau.

Malaysia turut menyatakan kesediaan untuk memainkan peranan lebih besar dalam kerangka kerjasama serantau menerusi AADMER apabila mempengerusikan ASEAN pada tahun 2025, dengan memberi penekanan kepada kesiapsiagaan dan ketahanan bencana di Asia Tenggara.

“Insya-Allah, melalui perkongsian pintar bersama UNDRR dan rakan-rakan global, kita akan terus berusaha memastikan dasar-dasar negara ini mampu melindungi nyawa, memelihara kesejahteraan rakyat, dan membina masa depan yang lebih berdaya tahan,” kata beliau lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79