Melaka Peruntuk RM700 Ribu Bagi Program Kecemerlangan SPM 2025

AYER KEROH, 5 Jun – Kerajaan Negeri Melaka terus komited dalam memperkasa pencapaian akademik pelajar apabila memperuntukkan sebanyak RM700 ribu bagi melaksanakan program kecemerlangan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi Inisiatif Bijak SPM Tahun 2025.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, peruntukan ini melibatkan 95 buah sekolah menengah dan dijangka memberi manfaat kepada seramai 12,757 calon SPM di seluruh negeri.

“Melalui Inisiatif Bijak SPM, kerajaan negeri bertekad memastikan pelajar Melaka bukan sahaja mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, tetapi juga bersedia untuk bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Terdahulu beliau telah menyempurnakan Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM & Bijak Sejarah A+ Tahun 2024 serta Pelancaran Program Bijak SPM Tahun 2025 di MITC, Ayer Keroh.

Jelas Ab Rauf, dalam usaha menyokong kejayaan pelajar, kerajaan negeri turut menyalurkan RM381,100 melalui Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM) bagi memberi insentif kepada pelajar yang cemerlang dalam SPM 2024.

“Menerusi inisiatif ini, pelajar yang memperoleh straight A+ akan menerima insentif RM1,000; pelajar straight A menerima RM500; manakala pelajar yang meraih A+ dalam subjek Sejarah pula akan menerima RM200.”

Selain itu, katanya RM200,000 turut diperuntukkan bagi Program Tuisyen Percuma untuk calon SPM dan STPM daripada keluarga B40, sebagai langkah memastikan tiada pelajar tercicir dalam pendidikan.

“Melaka akan terus melangkah sebagai pusat kecemerlangan modal insan, bukan sahaja di peringkat kebangsaan bahkan di pentas antarabangsa,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79