Mantai Perdana Parlimen Jempol Bawa Manfaat Kepada Rakyat – Shamsulkahar
JEMPOL, 5 Jun – Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli meluahkan kesyukuran dapat melaksanakan program Mantai Perdana bersama Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Masjid Tuanku Muhriz dan masyarakat dalam Parlimen ini.
Menurutnya, program sebegini dapat meringankan serta memberi peluang kepada penduduk mendapatkan daging pada harga yang berpatutan iaitu RM25 sekilogram selepas subsidi sebanyak RM10.
“Syukur Alhamdulillah berjaya dijalankan program Mantai Perdana anjuran bersama Masjid Tuanku Muhriz bersama UPTM dan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Jempol. Dalam program ini juga berjaya terjual daging dan tulang sebanyak 1,500 kg bersamaan 15 ekor lembu dengan kadar harga RM25 per kilogram (kg) selepas diberi subsidi sebanyak RM10 per kg.
“Hampir 800 orang masyarakat di sekitar Parlimen Jempol telah memperoleh manfaat dalam program ini bagi meringankan beban untuk menyambut hari raya Aidiladha pada Sabtu ini,” katanya kepada UMNO Online.
Shamsulkahar yang juga merupakan Pengerusi Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) berkata, program ini bermatlamat membentuk generasi yang lebih prihatin terhadap nilai-nilai murni dalam masyarakat.
“Program Mantai Perdana diharap dapat dijadikan acara tahunan dalam usaha memelihara tradisi dan memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai lapisan.
“Ia juga dapat memberi peluang kepada rakyat untuk mendapatkan daging yang berkualiti pada harga yang mampu milik,”ujarnya. – UMNO Online