Malaysia–Thailand Perkukuh Kerjasama Tangani Isu Banjir Di Sempadan Sungai Golok

GENEVA, 5 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengadakan pertemuan dua hala bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Thailand, Tuan Yang Terutama Anutin Charnvirakul, sempena Eight Session of the Global Platform for Disaster Risk Reduction yang berlangsung di Geneva.

Dalam pertemuan tersebut, Ahmad Zahid membangkitkan isu limpahan air luar biasa di Sungai Golok yang menjejaskan kawasan jajahan di Kelantan, terutamanya selepas siapnya projek tebatan banjir di sebelah Thailand.

Ujarnya, pelepasan air yang dilakukan telah menyebabkan banjir besar serta kerosakan struktur benteng di kawasan Malaysia, mengakibatkan paras air meningkat melebihi tahap normal.

“Sehubungan itu, bagi persediaan menempuhi Monsun Timur Laut yang diramal bermula November ini, saya telah mencadangkan agar sebarang pelepasan air dari empangan di Thailand dimaklumkan kepada pihak Malaysia sekurang-kurangnya tiga hingga empat hari lebih awal.

“Ini bagi memastikan Malaysia mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persediaan dan memberi amaran kepada penduduk yang terlibat, khususnya di sekitar lembangan Sungai Golok.

“Alhamdulilah cadangan ini telah diterima dan dipersetujui oleh pihak Thailand, dan satu mekanisme pemakluman awal akan diwujudkan demi keselamatan dan kebajikan rakyat di kedua-dua negara. Ini merupakan langkah awal yang penting sebelum diperhalusi dengan tindakan susulan lain bagi memastikan kesiapsiagaan bencana dapat dilaksanakan secara lebih berkesan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pertemuan itu juga, Ahmad Zahid menyambut baik pemeteraian perjanjian bagi projek pembinaan Jambatan Kedua Rantau Panjang–Sungai Golok.

Turut dibincangkan ialah rancangan kerja-kerja mendalamkan muara Sungai Golok serta pembinaan benteng sungai, yang dijadualkan bermula Oktober ini.

Menurut beliau, kerjasama erat ini mencerminkan komitmen tinggi Malaysia dan Thailand dalam memperkukuh kesiapsiagaan bencana serta keselamatan di kawasan sempadan.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand akan terus diperkukuhkan demi manfaat rakyat kedua-dua negara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79