Lawatan Ahmad Zahid Jambatan Perkukuh Hubungan Malaysia-UK
LONDON, 5 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan lawatan empat harinya ke United Kingdom (UK) yang berakhir semalam sebagai jambatan memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-UK dalam pelbagai bidang antaranya pendidikan, ekonomi dan pelancongan.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, lawatan yang diisi dengan perbincangan dan pelbagai program itu berlainan daripada lawatan sebelum ini kerana beliau berpeluang menyaksikan sendiri komitmen pelajar tajaan Majlis Amanah Raya (MARA) di University College London (UCL) menuntut ilmu semasa sesi pertemuan dengan mereka.
“…kita lihat komitmen mereka bukan sekadar untuk memperolehi ilmu tetapi untuk bergerak sebagai pemangkin kepada generasi Z dan generasi Alfa, apabila mereka datang ke sini dan menerima ilmu kemudian balik ke Malaysia, mereka akan menyumbang bukan hanya kepada profesion mereka tetapi kepada bidang-bidang yang lain untuk memberikan motivasi terutamanya kepada generasi Alfa atau generasi milenium,” katanya pada sidang media di sini, pada Selasa.
Selain itu, Ahmad Zahid turut berkongsi mengenai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia yang mendapat sambutan memberangsangkan daripada universiti itu dan pelajar yang teruja dengan pengubah keadaan (game changer) yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia.
“…kita tahu bahawa hasrat untuk mewujudkan 60,000 peluang pekerjaan jurutera bagi bidang teknologi tinggi telah disegerakan dan kita meminta supaya latihan untuk pelatih (ToT) dilakukan dengan segera,” katanya.
Selain TVET, lawatan tersebut turut meningkatkan kerjasama pembangunan luar bandar dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan ketahanan iklim menerusi pertemuan Ahmad Zahid dengan Menteri Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar UK Steve Reed.
Pertemuan berkenaan turut menyentuh mengenai kerjasama dalam transformasi luar bandar, pengurusan bencana, keselamatan air serta pelaburan dalam tenaga hijau termasuk pengaktifan semula Grid Kuasa ASEAN.
Semasa lawatan itu, Malaysia turut mencadangkan penggunaan sukuk hijau untuk pembiayaan iklim serta usaha memimpin ekosistem halal global melalui Majlis Halal Dunia dan logo halal seragam. – BERNAMA