Ketua Wanita UMNO Sabah Gesa Kerajaan Negeri Selesaikan Isu Secara Menyeluruh
KOTA KINABALU, 5 Jun – Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris menyeru Kerajaan Negeri Sabah agar segera tampil menyelesaikan isu kekurangan tempat letak kereta di hospital-hospital utama negeri ini secara menyeluruh, khususnya di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas.
Menurut beliau, masalah ketiadaan parkir yang mencukupi bukan lagi isu baharu dan telah berlarutan terlalu lama sehingga menjejaskan kesejahteraan rakyat, terutamanya wanita mengandung dan keluarga mereka yang datang untuk mendapatkan rawatan.
“Saya merayu agar Kerajaan Negeri Sabah sebagai pentadbir negeri, mengambil tanggungjawab untuk tampil ke hadapan menyelesaikan isu ini secara menyeluruh. Jangan biarkan masalah ini terus berlarutan sehingga rakyat hilang sabar dan rasa hormat terhadap sistem yang sepatutnya membela mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noraini turut menzahirkan rasa simpati terhadap ibu-ibu yang sarat mengandung dan pesakit lain yang terpaksa berjalan jauh akibat tiada ruang parkir, termasuk dalam keadaan cuaca panas, hujan, atau ketika sedang menahan kesakitan.
Beliau menyifatkan isu parkir ini bukan sekadar melibatkan keselesaan, tetapi menyentuh soal keselamatan, maruah dan keprihatinan terhadap rakyat.
Ujarnya, selain HWKKS, masalah sama turut dilaporkan di Hospital Queen Elizabeth I dan II, Hospital Tawau, Hospital Sandakan dan beberapa hospital besar lain di negeri ini.
“Pembinaan tempat letak kereta bertingkat atau penyelesaian jangka panjang lain perlu dipertimbangkan dengan serius. Ini bukan soal pembinaan semata-mata, tetapi bukti kerajaan mendengar denyut nadi rakyat dan bersedia bertindak,” tegasnya.
Beliau menambah, penyelesaian menyeluruh oleh Kerajaan Negeri adalah langkah terbaik untuk memastikan kemudahan kesihatan di Sabah benar-benar inklusif, selamat dan mesra rakyat. – UMNO Online