Dangkal… Jangan Politikkan Isu Tanah Rizab Melayu Di Johor – Mohd Lassim

SRI GADING, 5 Jun – Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Mohd Lassim Burhan, menyelar cadangan Timbalan Pengerusi Amanah Johor yang menggesa Kerajaan Negeri Johor menukar status Tanah Rizab Melayu (TRM) kepada hak milik kekal seperti dilaksanakan di Negeri Sembilan, sambil menyifatkan pandangan itu sebagai dangkal dan tidak memahami realiti serta sensitiviti rakyat Johor.

Menurut beliau, Johor mempunyai pendekatan tersendiri dalam menguruskan isu tanah rizab, termasuk mengambil kira sejarah, undang-undang negeri dan kepentingan jangka panjang kaum Melayu.

“Di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, kerajaan negeri tidak pernah menzalimi rakyat atau menafikan hak pemilik tanah. Malah, pendekatan yang diambil adalah bertanggungjawab dan telus, dengan contoh terkini apabila tujuh permohonan pajakan di Kampung Melayu Majidee telah diluluskan dan diserahkan,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Mohd Lassim mengingatkan bahawa cadangan Amanah itu adalah langkah berbahaya yang boleh membuka ruang kepada penghakisan pemilikan tanah Melayu secara halus atas nama kebebasan pasaran, yang akhirnya akan merugikan generasi masa depan.

“Mereka yang membawa naratif ini seolah-olah lupa tentang Enakmen Rizab Melayu Johor dan Wasiat Raja-Raja Melayu 1957 yang jelas melindungi kepentingan tanah warisan bangsa. Kita tidak akan membenarkan tanah rizab Melayu digadai hanya untuk memenuhi kepentingan politik segelintir pihak,” tegasnya.

Beliau turut membangkitkan isu pemberian hak milik kekal 999 tahun kepada kampung baru bukan Melayu di Perak pada tahun 2018, yang menurutnya telah mencetuskan polemik berkepanjangan.

“Ketika itu, di manakah suara PAN dalam memperjuangkan hak tanah orang Melayu? Senyap seribu bahasa,” katanya lagi.

Mohd Lassim turut menegaskan bahawa Johor kini sedang meneliti Rancangan Khas Kawasan (RKK) bagi memastikan kampung-kampung tradisi Melayu, termasuk Kampung Melayu Majidee, kekal relevan dan makmur dalam arus pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Johor mahu maju, tetapi Johor tidak akan hilang jiwa. Tanah Rizab Melayu bukan hanya soal hak milik, tetapi tentang masa depan anak bangsa dan mempertahankan akar di tengah arus pembangunan pesat,” katanya.

Beliau mengakhiri kenyataannya dengan menyeru agar semua pihak, terutamanya Amanah dan sekutunya, berhenti mempolitikkan isu tanah rizab Melayu dan menghormati prinsip serta undang-undang negeri Johor.

“Johor adalah negeri berdaulat, punya prinsip dan undang-undang tersendiri. Kami memilih untuk mempertahankan hak, bukan memperdagangkannya. Inilah semangat Bangsa Johor,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79