Malaysia-UK Perkukuh Hubungan Menerusi Francais, Pelancongan
LONDON, 4 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meneruskan lawatan kerja di London dengan mengadakan Dialog Perniagaan Francais: Malaysia-United Kingdom, yang menjadi wadah penting untuk memperkukuh hubungan ekonomi dua hala, khususnya dalam sektor francais yang kian berkembang pesat.
Beliau yang juga Presiden UMNO memaklumkan Malaysia komited untuk memperkasa ekosistem francais negara melalui pelaksanaan Dasar Francais Negara 2030, pembiayaan MARA, geran digital oleh MDEC dan sokongan TVET yang berterusan.
“Sasaran kita adalah jelas untuk mencapai RM100 bilion jualan francais menjelang 2030.
“Malaysia turut membuka pintu kepada francais dari United Kingdom untuk meneroka potensi besar pasaran ASEAN melalui Malaysia. Dalam masa yang sama, kita berusaha memperluas lagi kehadiran jenama francais Malaysia ke pasaran UK yang bernilai lebih £19 bilion setahun.
“Sehubungan itu, satu cadangan telah dikemukakan untuk menjadikan sektor francais sebagai fokus utama dalam Malaysia–UK SME Working Group di bawah Joint Economic andTrade Committee (JETCO).
“Usaha ini bakal diformalkan sebagai satu platform sokongan strategik bagi membantu jenama Malaysia menembusi pasaran UK secara lebih menyeluruh menjelang 2026,” katanya menerusi satu kenyataan.
Selain sektor francais, beliau juga telah mempengerusikan Sesi Meja Pelancongan bersama penggiat industri pelancongan UK sebagai persediaan menjelang Visit Malaysia 2026 (VM2026).
Ahmad Zahid memaklumkan Malaysia melihat United Kingdom sebagai pasaran berimpak tinggi dan sasaran adalah untuk meningkatkan ketibaan pelancong UK ke Malaysia kepada 500,000 orang menjelang tahun 2026 berbanding 390,000 pada masa ini.
“Saya turut melancarkan kempen antarabangsa Visit Malaysia 2026 di London. Pelancaran ini bukan sekadar simbolik, tetapi mencerminkan komitmen Malaysia untuk mempromosikan sektor pelancongan negara di pentas global, dengan penekanan terhadap konsep pelancongan lestari, budaya mesra pelancong, serta pengalaman unik seperti ‘Inap Desa’ yang menonjolkan keunikan kehidupan luar bandar Malaysia.
“Malaysia bukan sekadar sebuah destinasi pelancongan. Kita adalah jambatan budaya, alam dan hospitaliti yang mampu menghubungkan hati, membuka peluang dan mencipta kenangan,” ujar beliau.
Sementara itu, beliau turut meluahkan keyakinan pendekatan strategik ini akan memperkukuh lagi hubungan dagang dan pelancongan Malaysia–UK, serta menjana manfaat langsung kepada usahawan, pelabur dan rakyat kedua-dua negara. – UMNO Online