Komitmen UMNO Terus Jaga Kepentingan Pendidikan Anak Bangsa – Mohd Razlan
KUALA LUMPUR, 4 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii menegaskan bahawa langkah-langkah proaktif yang diambil oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) membuktikan komitmen berterusan pemimpin-pemimpin UMNO dalam memastikan kebajikan dan masa depan pendidikan anak bangsa sentiasa menjadi keutamaan, walau dalam suasana geopolitik dunia yang mencabar.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh berkata demikian susulan pengenalan beberapa dasar tidak mesra pelajar antarabangsa oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Katanya, MARA di bawah kepimpinan Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengambil keputusan berani dan tepat untuk menghentikan penghantaran pelajar ke negara tersebut.
“Saya percaya tindakan Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki untuk menghentikan penghantaran pelajar ke Amerika Syarikat bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya didasari pertimbangan yang matang terhadap perkembangan dasar semasa di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump yang semakin tidak mesra kepada pelajar dan warga antarabangsa,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.
Ujar Mohd Razlan, yang lebih penting, tindakan tersebut disusuli dengan penyediaan pelan alternatif yang cepat dan menyeluruh, termasuk rundingan bersama pelajar yang sedang dan bakal melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat.
“Perbincangan dengan pelajar-pelajar di peringkat persediaan dan juga yang sedang menuntut di AS menunjukkan MARA mengambil pendekatan menyeluruh dan berpusatkan pelajar.
“Bukan sekadar mengalihkan lokasi tetapi menjaga kesinambungan bidang pengajian dalam bidang-bidang strategik seperti teknologi, kejuruteraan dan kecerdasan buatan.”
Lebih membanggakan, katanya, langkah ini turut mendapat respons positif daripada universiti-universiti terkemuka di United Kingdom. Universiti Warwick dan Universiti Birmingham menawarkan diskaun yuran sebanyak 20%, manakala Universiti Edinburgh menawarkan diskaun sebanyak 10%, sebagai pengiktirafan terhadap kualiti pelajar tajaan Malaysia.
“Perkembangan positif ini memperlihatkan reputasi pelajar Malaysia di peringkat global bukan calang-calang. Ini menjadi bukti bahawa pelajar kita bukan sahaja diterima, malah dihargai oleh institusi pendidikan bertaraf dunia.
“Ini adalah naratif kejayaan dalam pengurusan krisis pendidikan antarabangsa dan membuktikan kecekapan kepimpinan UMNO dalam memastikan kepentingan pelajar dan negara terus terpelihara,” ujarnya.
Beliau menambah, kejayaan ini mencerminkan kesungguhan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan untuk memastikan akses pendidikan tinggi yang berkualiti kepada generasi muda Melayu dan Bumiputera tidak tergugat.
“Ini adalah antara komitmen berterusan pemimpin-pemimpin UMNO hari ini di bawah Kerajaan Perpaduan bagi memastikan akses kepada pendidikan tinggi yang berkualiti terus dinikmati oleh generasi muda Melayu/Bumiputera.
“Bukan hendak mendabik dada, tetapi usaha dan gerak kerja seperti ini wajar dikongsi agar rakyat tahu kebenaran. UMNO terus berjuang secara konsisten untuk membela masa depan pendidikan anak bangsa,” katanya lagi. – UMNO Online