Komitmen Kebajikan Rakyat Terus Diutama, Mohd Jafni Salur Sumbangan

KULAI, 4 Jun 2025 – Keprihatinan terhadap kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan Kerajaan Negeri Johor apabila Exconya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor menyampaikan sumbangan menerusi Peruntukan Pusat Khidmat Rakyat N50 Bukit Permai dan Yayasan Sejahtera Kulai (YSK).

Ujarnya, sumbangan ini merangkumi pelbagai keperluan asas masyarakat setempat termasuk sokongan kepada program komuniti, pendidikan, aktiviti masjid dan surau, inisiatif anak muda, bantuan komputer riba serta galakan kepada perniagaan kecil.

“Bantuan ini bukan sekadar angka, ia lambang komitmen kita untuk memastikan tiada golongan yang tercicir. Kita mahu rakyat rasa dilindungi dan didengari,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Jelas beliau, antara penerima manfaat sumbangan ini termasuk GPW Felda Taib Andak, Sekolah Kebangsaan Putra Utama, Kolej Vokasional Perdagangan, HELWA surau-surau, PIBG sekolah dan individu yang memerlukan.

Menurut Mohd Jafni, keutamaan kebajikan rakyat adalah selari dengan agenda Kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang menekankan pendekatan inklusif menerusi demi Maju Johor yang merentasi semua lapisan masyarakat.

“Setiap ringgit yang disalurkan adalah pelaburan untuk kesejahteraan rakyat. Inilah nilai yang kita junjung iaitu rakyat sentiasa di hati,” tambah beliau lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79