Guna Duit Sendiri… Bukan Duit Kerajaan, Shahaniza Bidas Dakwaan Ditanggung Ke UK
KUALA LUMPUR, 4 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin membidas sebuah laporan berita yang memetik bahawa beliau dan pemimpin UMNO yang lain ke United Kingdom (UK) ditanggung kerajaan.
Sebaliknya kata Ketua UMNO Bahagian Maran itu, kehadiran mereka ke sana menggunakan perbelanjaan sendiri.
“Posting saya semalam gambar bersama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah digunakan oleh Malaysiakini tanpa kebenaran dan telah mengundang pelbagai reaksi negatif netizen.
“Saya dan juga pemimpin UMNO yang lain yang turut hadir tidak menggunakan sebarang kemudahan kementerian mahupun ditanggung oleh kerajaan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Menyifatkan sebagai tuduhan melampau, katanya ia merupakan inisaitif beliau dan pemimpin UMNO yang lain untuk mengatifkan kembali Kelab UMNO UK.
“Tuduhan menggunakan duit rakyat dan sebagainya adalah melampau.
“Kami hadir bertemu anak-anak muda yang mahu mengaktifkan semula Kelab UMNO UK atas perbelanjaan kami sendiri,” ujar beliau.
Respon diberi Shahaniza itu bagi menjawab sebuah laman portal media pada semalam yang merujuk kepada lawatan kerja empat hari oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bertujuan memperkukuh hubungan Malaysia-United Kingdom.
Lawatan kerja itu menumpukan kepada TVET, pelancongan dan pelaburan. – UMNO Online