BN Sabah Bukti Tindakan, Bukan Retorik… Parti Lain Hanya Main Sentimen – Mohammad Azmi

KOTA KINABALU, 4 Jun – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Mohammad Azmi Amir Hussin menyelar slogan “Sabah for Sabahan” yang kembali dilaungkan oleh sesetengah pihak, malah menyifatkannya sebagai retorik lama yang gagal membawa perubahan bermakna kepada rakyat negeri itu.

Menurut beliau, slogan tersebut kini hanya menjadi bayang-bayang perjuangan yang sudah lama hilang sinarnya dan tidak lebih daripada ungkapan kosong tanpa hasil yang nyata.

“Ada yang melaungkan semula ‘Sabah for Sabahan’ seolah-olah ia obor perjuangan baharu, sedangkan realitinya ia tidak membawa sebarang perubahan besar kepada negeri ini. Malah, perpecahan antara parti-parti tempatan yang bertelagah sesama sendiri hanya menyukarkan lagi kemajuan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohammad Azmi turut menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) Sabah tidak perlu melaungkan slogan cinta kepada negeri, sebaliknya telah membuktikan komitmen mereka melalui pelbagai inisiatif pembangunan dan pengiktirafan terhadap hak dan kepentingan Sabah.

“BN tidak menjerit tentang cinta kepada Sabah. BN membuktikannya melalui pembangunan, pengiktirafan dan keadilan dalam pengagihan kuasa. Kita lebih fokus kepada tindakan daripada retorik,” katanya.

Beliau menyeru rakyat Sabah agar menilai prestasi dan keikhlasan sesebuah parti politik berdasarkan usaha serta hasil yang dicapai, bukan sekadar slogan semata-mata. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79