Penyertaan Profesional Muda Meningkat, Tanda UMNO Terus Relevan – Dr. Masliha
KUALA LUMPUR, 3 Jun – Keterlibatan golongan profesional dalam mesyuarat cawangan UMNO baru-baru ini disifatkan sebagai perkembangan positif yang membuktikan UMNO masih mempunyai tempat dalam hati rakyat, khususnya dalam kalangan generasi muda berpendidikan tinggi.
Exco Wanita UMNO, Dr. Masliha Harun berkata, penyertaan aktif daripada pelbagai latar belakang profesional menunjukkan minat yang mendalam dalam memperkukuh dasar dan hala tuju parti.
Katanya, penyertaan golongan profesional dalam persidangan cawangan jelas menunjukkan kesediaan golongan tersebut untuk menyumbang kepakaran mereka.
“Pada pasca-mesyuarat cawangan UMNO baru-baru ini sememangnya terdapat keterlibatan yang semakin ketara daripada golongan profesional dalam persidangan itu. Ini menunjukkan satu perkembangan positif bahawa UMNO masih relevan dan mampu menarik minat golongan berpendidikan tinggi, yang ingin menyumbang kepakaran mereka dalam memperkukuh dasar dan hala tuju parti.
“Kita melihat kemunculan doktor, jurutera, pensyarah, usahawan serta pegawai-pegawai muda profesional yang tampil memberi pandangan dalam mesyuarat cawangan. Ini membuktikan bahawa UMNO bukan sahaja parti keramat orang Melayu, malah parti yang berkembang dengan daya intelektual dan pemikiran strategik yang lebih segar.
“Wanita kini bukan hanya penggerak di peringkat akar umbi, malah menjadi penyumbang idea dan dasar dalam parti. Kehadiran mereka dalam persidangan cawangan UMNO membuktikan bahawa suara wanita kini semakin didengar dan dihargai,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau turut menyatakan bahawa keterbukaan UMNO dalam menerima pandangan pelbagai pihak menjadi asas kepada proses pembaharuan dan pemantapan parti.
Dr Masliha juga Pengerusi Sekretariat Wanita Profesional (SWP) menjelaskan UMNO mampu menarik golongan muda dan wanita demi perkuat dan memperkasakan UMNO untuk masa depan.
“Benar… UMNO yang kuat adalah UMNO yang inklusif dan progresif. Golongan muda hari ini lebih kritikal dan celik maklumat, maka pendekatan kita juga perlu lebih dinamik dan mesra generasi baharu. UMNO mesti terus menyediakan ruang untuk anak muda tampil sebagai pemimpin pelapis, bukan sekadar menjadi penyokong, tetapi pemacu dasar dan suara rakyat.
“Begitu juga dengan peranan wanita sebagai tulang belakang parti. Wanita UMNO telah lama menjadi barisan hadapan dalam gerak kerja parti di semua peringkat.
“Kita mesti terus memperkasakan mereka dengan latihan, peluang kepimpinan dan peranan strategik dalam parti serta pentadbiran. Gabungan tenaga wanita dan anak muda inilah yang akan menjadi formula kekuatan UMNO dalam menghadapi cabaran politik masa depan,” ujarnya.
Untuk rekod, persidangan mesyuarat cawangan UMNO telah dilaksanaka pada 7 April hingga 25 Mei, manakala bagi mesyuarat perwakilan Bahagian UMNO akan dilaksanakan pada 9 Jun hingga 23 Ogos. – UMNO Online