UMNO Pahang Junjung Prinsip Musyawarah, Kebersamaan – Shahaniza
KUALA LUMPUR, 2 Jun – Ketua Penerangan UMNO Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata setiap pemimpin yang memegang jawatan dalam kerajaan dan parti perlu sentiasa menjaga tatasusila, kesetiaan kepada parti, serta bertindak mengikut semangat dan dasar perjuangan UMNO.
Menurut beliau UMNO Pahang sentiasa menjunjung tinggi prinsip musyawarah, kebersamaan serta disiplin parti.
“Oleh itu, sebarang tindakan yang dilihat boleh menjejaskan keutuhan parti atau menimbulkan persepsi negatif perlu ditangani secara berhemah, namun tegas.
“UMNO telah membuat keputusan menyertai Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara dan kepentingan rakyat. Sebarang tindakan atau kenyataan yang bersifat peribadi tetapi membawa implikasi politik perlu diteliti secara serius agar tidak mengundang kekeliruan dan menjejaskan imej parti.
“Senator Tengku Zafrul sebagai ahli parti yang diangkat menggalas tanggungjawab dalam kerajaan mempunyai tanggungjawab moral dan politik untuk menunjukkan kesetiaan serta kebersamaan dengan dasar dan aspirasi parti. Perlu diingat bahawa UMNO bukan sekadar platform politik, tetapi wadah perjuangan yang berteraskan disiplin dan semangat berpasukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kata beliau lagi tindakan dan kenyataan Tengku Zafrul yang menunjukkan minat untuk menyertai PKR boleh memberikan beberapa kesan penting terhadap Kerajaan Perpaduan, khususnya dari aspek kepercayaan politik, kesepaduan dalaman, dan dinamika antara parti
Tambahnya Kerajaan Perpaduan dibentuk atas dasar kompromi dan toleransi antara parti, dan rakyat mengharapkan kesepaduan serta kestabilan.
“Tindakan seperti ini hanya akan memberikan gambaran bahawa sesetengah pihak dalam kerajaan masih mengamalkan politik opportunistik dan agenda peribadi, bukan prinsip kebersamaan. Ini boleh merosakkan persepsi awam terhadap komitmen kerajaan kepada kestabilan politik jangka panjang.
“Sekiranya perkara ini tidak ditangani dengan kebijaksanaan politik dan persefahaman bersama, ia boleh mengundang keretakan dalaman yang memberi kesan negatif kepada imej dan kestabilan Kerajaan Perpaduan secara keseluruhan.
“UMNO Pahang menyokong penuh apa jua tindakan yang akan diambil oleh Presiden pqrti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dalam perkara ini,” ujarnya.- UMNO Online