Adab Politik Dalam Kerjasama Harus Jadi Keutamaan – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Kenyataan beberapa pimpinan utama PKR yang secara terbuka meraikan kemasukan Tengku Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz  ke dalam parti mereka menimbulkan pelbagai persoalan.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata Daripada Datuk Seri Amirudin Shari sehinggalah kepada Kamil Munim, nada mereka jelas menunjukkan seolah – olah bahawa tindakan ini adalah sesuatu yang dirancang, diolah dan dirayakan.

Menurut beliau sebagai parti yang berada dalam kerajaan perpaduan, sepatutnya PKR menjadi contoh kepada budaya adab bekerjasama.

“Siri kenyataan daripada tokoh-tokoh PKR seolah-olah memberi mesej terus ke muka UMNO bahawa adab dalam bekerjasama itu tidak penting dan bahawa langkah-langkah politik boleh diatur tanpa mengambil kira sensitiviti rakan kongsi utama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Saya ingin tegaskan bahawa ini bukan soal meratapi kehilangan, UMNO tidak berduka dengan keputusan Tengku Zafrul. Malah, kita bersedia untuk terus bergerak ke hadapan dengan saf yang lebih jujur dan setia. Kita tidak kehilangan pahlawan, hanya melihat seorang pelancong politik kelas pertama menanggalkan topeng dan pergi ke destinasi baru.

“Persoalannya ialah, mengapa pimpinan PKR begitu terbuka dan beria-ia meraikan perkara ini? Adakah ini nilai sebenar dalam semangat kerjasama yang telah kita bina bersama,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata beliau lagi, jika budaya seperti ini diteruskan, ia hanya akan mencemarkan keharmonian yang telah sekian lama diusahakan dalam kerajaan perpaduan.

“Kejanggalan drama ini wajar dihentikan demi kelangsungan sebuah kerjasama politik yang stabil, jujur dan ikhlas.

“Kita tidak boleh terus mengorbankan prinsip hanya kerana mahu mengekalkan kuasa. UMNO bersedia bekerjasama, tetapi bukan menjadi bahan mainan dalam skrip politik pihak lain,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79