Wanita UMNO Tolak Politik Tidak Sihat – Noraini
KUALA LUMPUR, 1 Jun – Wanita UMNO Malaysia hari ini menegaskan mereka menolak budaya politik tidak sihat demi kepentingan serta kestabilan negara.
Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata tindakan Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli UMNO untuk menyertai parti lain bertentangan dengan semangat politik stabil yang diperjuangkan kerajaan hari ini.
“Tindakan ini bercanggah dengan semangat politik stabil yang diperjuangkan Kerajaan Perpaduan. Wanita UMNO khuatir tindakan ini akan mencetuskan ketidakpercayaan dan ketidakharmonian dalam gabungan Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tegas Noraini, Kerajaan Madani ini dibentuk atas dasar kerjasama antara parti-parti yang berbeza ideologi.
“Semua parti dalam Kerajaan Perpaduan harus menumpukan usaha membangun ekonomi dan membaik pulih tadbir urus negara.
“Politik Malaysia memerlukan kematangan dan komitmen terhadap prinsip parti. Kami menyeru semua pemimpin menghormati satu sama lain dan memberi tumpuan kepada pengukuhan ekonomi rakyat,” ujarnya.- UMNO Online