UMNO Tidak Terkesan Percaturan Politik Murahan – Nor Akmal
KUALA LUMPUR, 1 Jun – Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Nor Akmal Muhammad berpadangan tindakan keluar parti oleh Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak memberi kesan kepada parti.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Pulai berkata pengajaran daripada jiwa perjuangan Tengku Zafrul yang telah mati ini seperti peribahasa habis manis sepah dibuang.
“UMNO sekali-kali tidak terkesan dengan percaturan politik murahan ini bahkan kata Ketua Pemuda UMNO Malaysia ‘datang tidak diundang pergi pun tidak dikesal’ adalah amat tepat dengan perilaku yang ditunjukkan oleh Tengku Zafrul.
“Pengorbanan dan kesetiaan kepada UMNO adalah titik paling tinggi perjuangan seluruh ahli-ahlinya dalam mempertahankan agama, bangsa dan tanah air tercinta ini.
“Biarlah masa sahaja yang akan menentukan UMNO akan bangkit semula menerajui kepimpinan negara dengan berpaksikan keikhlasan pemimpinnya dan kesetiaan kepada UMNO yang kita sayangi dulu, kini dan selamanya,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau dalam pada itu berkata kepimpinan UMNO perlu mendesak Tengku Zafrul meletakkan jawatan sebagai menteri di bawah kuota UMNO tanpa menunggu sehingga tamat tempoh jawatan Senator yang disandang beliau pada Disember nanti.
Katanya PKR juga wajar tidak menerima Tengku Zafrul sebagai ahli parti mereka selagi Kerajaan Perpaduan masih berdiri dan dibentuk.
“Walaubagaimana hebat pun gelombang badai yang berlaku dalam sesebuah parti politik jiwa perjuangan pemimpin yang tulen, tulus dan sejati mestilah sentiasa digenggam dengan penuh istiqamah serta rasa tanggungjawab kepada ahli-ahli parti.
“Sementelah lagi parti yang dinaungi oleh mereka inilah yang memberi kesenangan, kuasa dan pengaruh untuk mereka bertapak.
“Begitu juga dengan apa yang terjadi dengan Tengku Zafrul merupakan sesuatu yang begitu mengecewakan dan memberi satu perspektif moral politik yang begitu rendah dan buruk dalam jiwa perjuangan Tengku Zafrul sebagai seorang pemimpin.
“Beliau telah mengkhianati UMNO dengan berpentaskan dinamika politik baru yang menjijikkan lagi meloyakan. Ianya juga adalah satu perbuatan yang tidak beretika sepertimana kata Datuk Seri Presiden UMNO kepada media,” ujar beliau. – UMNO Online