Perjuangan BN Rangkul Kepelbagaian, Rentas Garis Perbezaan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata lebih separuh abad lamanya, BN menjadi gagasan jiwa yang merangkul kepelbagaian, merentas garis perbezaan, dan menyatukan rakyat di bawah panji cita-cita besar demi Malaysia yang damai, makmur serta berdaya tahan.

Menurut beliau dalam badai perubahan zaman, ketika dunia berubah arah dan angin politik bertukar haluan, parti itu tetap berdiri teguh dan tidak goyah.

“Alhamdulillah, hari ini genaplah 51 tahun usia BN yang merupakan sebuah wadah politik yang telah menempuh gelombang sejarah dan terus utuh sebagai tiang seri perjuangan membina negara bangsa Malaysia.

“Kita menjunjung tinggi prinsip-prinsip demokrasi yang berakar kuat, membela pembangunan yang inklusif, dan menyemai benih perpaduan nasional yang kian subur dari generasi ke generasi.

“Sebagai Pengerusi BN, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh ahli, jentera parti, pimpinan di semua peringkat, serta penyokong setia yang tidak pernah berpaling sama ada dalam susah mahupun senang, ketika menang mahupun diuji,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Kata beliau lagi kesetiaan semua menggalas perjuangan BN adalah kunci kepada segala-galanya.

“Kesetiaan kalian adalah nadi kekuatan kita. Semangat kalian adalah nyawa kepada perjuangan ini.

“Semoga ulang tahun ke-51 ini menjadi muhasabah yang menyegarkan, menjadi ilham untuk kita terus mara, melangkah penuh yakin dalam menyulam sejarah baharu yang lebih bermakna. Moga perjuangan ini terus diberkati dan dipandu oleh petunjuk Ilahi. Hidup BN,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79