Azalina Tegaskan Mandat Menteri Milik Parti, Bukan Individu

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said, mengesahkan bahawa parti itu mengambil maklum keputusan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk tidak lagi bersama UMNO.

Menurut Azalina, UMNO menghormati kebebasan individu dalam membuat pilihan politik.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa jawatan dalam Jemaah Menteri yang disandang oleh mana-mana individu adalah atas mandat parti yang diwakili, bukan atas kapasiti peribadi.

“Walaupun YAB Perdana Menteri mempengerusikan Majlis Perpaduan, setiap Menteri yang dilantik adalah sebagai wakil rasmi parti masing-masing. UMNO tetap komited memberi khidmat kepada negara dalam kerangka Kerajaan Perpaduan dan akan terus menunaikan amanah rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Azalina turut memaklumkan bahawa Biro Undang-Undang UMNO telah diarahkan untuk meneliti implikasi di bawah Akta Anti-Lompat Parti, termasuk kedudukan seorang senator, bagi memastikan sebarang tindakan selepas ini mematuhi kerangka perundangan sedia ada.

Beliau dalam masa sama menyeru ahli dan penyokong UMNO agar terus fokus terhadap agenda pembangunan negara.

“Politik individu boleh berubah, tetapi perjuangan parti demi agama, bangsa dan negara harus kekal,” tambahnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79