51 Tahun Perjuangan BN Bukan Tempoh Singkat – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata 51 tahun perjuangan Barisan Nasional (BN) bukanlah tempoh yang singkat.

Menurut beliau ianya membuktikan ketahanan, kematangan dan iltizam parti berkenaan dalam mendepani pelbagai cabaran dan perubahan landskap politik tanah air.

“Selamat Ulang Tahun Ke-51 Barisan Nasional (BN) kepada seluruh warga parti dan rakyat Malaysia yang terus menaruh kepercayaan kepada perjuangan ini.

“Sejak penubuhannya pada 1 Jun 1974, BN telah menzahirkan keupayaan luar biasa dalam menyatukan kepelbagaian, membina kestabilan dan memacu kemajuan negara.

“Jentera dan ahli-ahli BN di peringkat negeri telah memainkan peranan penting dalam mempertahankan dasar perjuangan yang berpaksikan kepentingan rakyat, kesejahteraan negara dan perpaduan nasional,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu seterusnya menegaskan BN bukan sekadar sebuah parti politik tetapi juga gerakan rakyat yang ikhlas berbakti, yang tidak pernah lekang semangatnya walau diuji badai zaman.

“UMNO Negeri Sembilan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli, pemimpin akar umbi, jentera pilihan raya, serta para penyokong setia yang tidak pernah berbelah bahagi, sama ada ketika berada di puncak kekuasaan mahupun saat kita diasak cabaran dan fitnah.

“Inilah detik muhasabah diri. Kita menilai kembali kekuatan dan kelemahan, serta membina semula keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap BN. Kita perlu kekal relevan, progresif dan bersatu dalam melangkah ke hadapan demi memastikan agenda pembangunan dan perpaduan nasional terus diperkasa.

“Kepada generasi muda, dekatilah sejarah dan fahami makna sebenar perjuangan ini. BN bukan sahaja tentang politik, ia adalah masa depan rakyat dan negara. Kita mahu membina Malaysia yang stabil, adil dan makmur untuk semua. Selamat Ulang Tahun Ke-51 BN,” ujarnya.

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79