UMNO Sentiasa Ada Pelapis, Bakat Baru Untuk Galas Amanah – Hafiz
KUALA LUMPUR, 31 Mei – Berhenti dari UMNO dan tidak lagi menjadi pemimpin parti bukan satu pengakhiran buat kita semua di dalam UMNO, kata Penolong Setiausaha Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin.
Ini kerana kata Hafiz lagi UMNO, sentiasa ada pelapis dan bakat baharu yang bersedia untuk menggalas amanah malah perjuangan tidak pernah bergantung kepada satu atau dua individu sahaja.
“Tetapi apabila seseorang memilih untuk keluar UMNO secara serta-merta dan menyatakan hasrat menyertai parti yang sedang bekerjasama dengan UMNO dalam kerajaan, ia satu tindakan yang mencetuskan banyak persoalan. kurang cermat, kurang bijak, dan langsung tidak menghormati sempadan adab politik antara parti.
“UMNO menerima Tengku Zafrul dengan penuh hormat. Bukan sahaja diberi tempat dalam parti, malah diangkat ke posisi penting dalam kabinet. Tapi bila kepercayaan itu dibalas dengan tindakan seperti ini, ia bukan sahaja mengecewakan malah menghakis rasa hormat ramai terhadap beliau.
“Ya, bakat dan kebolehan itu penting. Tapi dalam politik berparti, prinsip, nilai dan kesetiaan kepada perjuangan jauh lebih utama. Sebab itulah ahli parti sanggup berdiri di belakang, bekerja siang malam, demi memastikan pemimpin parti terus diberi tempat,” kaanya menerusi perkongsian di Facebook.
Kata beliau lagi ahli parti sentiasa bekerja keras memastikan pemimpin-pemimpin parti yang berada dalam kerajaan diberi sokongan sepenuhnya.
Tapi malangnya, tegas beliau mereka yang mendapat tempat melalui usaha dan titik peluh ahli parti selalunya tidak akan menghargai apa yang telah dilakukan oleh orang parti untuk mereka.
“Drama politik orang atasan yang tidak beri keuntungan kepada orang ramai dan orang biasa, tetapi hanya kelebihan untuk sesetengah dari kalangan mereka sahaja. Bosan dan memualkan.Selamat jalan…semoga selamat diterima di sebelah sana,” ujarnya.- UMNO Online