Perjuangan UMNO Bukan Bersandarkan Individu – UMNO Selangor
KUALA LUMPUR, 31 Mei – UMNO Selangor mengambil maklum kenyataan Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkenaan peletakan jawatan beliau dalam parti dan hasratnya untuk menyertai PKR.
Setiausahanya, Datuk Wira Abdul Mutalif Abdul Rahim berkata UMNO Selangor telah menjangkakan keputusan berkenaan berdasarkan perkembangan dalaman mutakhir.
Menurut beliau UMNO Selangor tidak akan berkompromi dalam soal kesetiaan dan keikhlasan terhadap perjuangan parti dan perletakan jawatan Tengku Zafrul adalah keputusan peribadi yang dihormati, tetapi bukan sesuatu yang mengejutkan.
“Kami ingin tegaskan bahawa perjuangan UMNO bukan bersandarkan kepada satu individu. Parti ini telah melalui pelbagai fasa cabaran dan pengkhianatan, namun tetap utuh kerana kekuatannya terletak pada akar umbi dan prinsip yang tidak boleh dijual beli.
“UMNO Selangor berpandangan, tindakan menyertai parti lain secara tiba-tiba terutamanya ketika masih memegang jawatan atas tiket UMNO bukan sahaja mencemarkan semangat setiakawan dalam Kerajaan Perpaduan, bahkan boleh menimbulkan ketegangan dan wujud prasangka dalam kalangan penyokong akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, kata beliau lagi, pihaknya menyeru semua parti komponen Kerajaan Perpaduan agar lebih beretika dan bertanggungjawab dalam menjaga keharmonian politik bersama dan tidak mengamalkan budaya ‘memancing ahli’ sesama rakan gabungan.
“UMNO Selangor akan terus memperkukuh saf kepimpinan termasuk UMNO bahagian Kota Raja serta kekal fokus terhadap misi memperjuangkan nasib rakyat. Kita tidak akan leka dengan drama individu, tetapi akan terus mara dengan semangat baharu demi agama, bangsa dan tanah air,” ujarnya.- UMNO Online