Sukarelawan Puteri UMNO Dapat Tajaan Perlindungan Insurans

KUALU LUMPUR, 30 Mei – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia sebagai menghargai komitmen dalam setiap misi sukarelawan disertai ahlinya menggerakkan inisiatif menaja pelan perlindungan takaful kemalangan diri.

Pengerusi Biro Kebajikan dan Aduan Awam, Dayang Nurazlin Nordin memaklumkan ia diberikan kepada 50 ahli Puteri yang aktif menyertai kerja-kerja kebajikan dilaksanakan sayap parti itu dalam misi sukarelawan yang dikendalikan mereka.

“Sebagai tanda penghargaan dan komitmen terhadap kebajikan ahli-ahli yang sentiasa berbakti dengan penuh dedikasi kami dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa Biro Kebajikan dan Aduan Awam Pergerakan Puteri UMNO Malaysia akan menaja pelan perlindungan takaful kemalangan diri (insurans) untuk 50 orang sukarelawan aktif.

“Tajaan perlindungan kemalangan diri ini akan bermula pada 1 Julai 2025 dan berkuat kuasa sehingga 30 Jun 2026, meliputi tempoh satu tahun penuh.

“Ia adalah sebagai langkah proaktif dalam memastikan keselamatan dan kebajikan semua yang terlibat terus terjaga, khususnya dalam menjalankan tugas dan aktiviti kemasyarakatan di seluruh negara,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau dalam pada itu memaklumkan pelaksanaan ini juga diharapkan menjadi galakkan kepada sukarelawan untuk terus berkhidmat dengan penuh semangat dan rasa tanggungjawab.

Terdahulu Biro Kebajikan dan Aduan Awam Pergerakan Puteri UMNO sebelum ini banyak melaksanakan misi sukarelawan di seluruh negara antaranya bencana alam dan sumbangan anak-anak yatim.

Mereka juga menggerakan kutipan Tabung Palestin sebagai inisiatif keprihatinan dan tanda solidariti serta semangat kemanusiaan terhadap perjuangan rakyat Palestin. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79