Sesi Baharu Ketua Kampung Johor Bermula Jun, Prestasi Akan Dinilai – Zahari

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip berkata seramai 659 Ketua Kampung akan mula dilantik bermula 1 Jun 2025.

Menurut beliau jumlah keseluruhan seramai 667 ketua kampung dan baki yang belum dilantik disebabkan oleh beberapa masalah teknikal dan sebagainya.

“Daripada 667 Ketua Kampung seluruh negeri Johor, seramai 659 orang akan mula dilantik 1 Jun 2025 manakala lapan lagi ditangguhkan atas beberapa sebab teknikal termasuk tidak melepasi tapisan jabatan-jabatan berkaitan.

“Mereka yang dilantik ini akan menjalankan tanggungjawab sebagai ketua kampung sehingga tahun 2027. Walau bagaimanapun, prestasi mereka akan dinilai dari masa ke semasa dan boleh ditamatkan dengan saranan jawatankuasa di peringkat daerah jika gagal menunjukkan prestasi yang sepatutnya sebagai ketua kampung,” katanya kepada UMNO Online, di sini hari ini.

Kata beliau lagi, bermula tahun ini, sesi perjawatan ketua kampung di Johor akan bermula 1 Jun dan akan berakhir 31 Mei, berbeza sesi-sesi sebelum ini yang tamat 31 Disember.

Ini kerana katanya akhir tahun khidmat ketua-ketua kampung diperlukan ketika pembukaan sesi persekolahan dan kebanyakan kawasan terlibat dengan musim tengkujuh.

“Dengan perubahan ini diharap ketua-ketua kampung akan dapat menumpukan perhatian mereka kepada tugas dan tanggungjawab yang ada.

“Saya faham tanggungjawab ketua kampung sangat besar berbanding elaun yang mereka terima, tetapi saya yakin dan percaya mereka mampu menjalankan tugas sebaiknya terutama dalam menangani masalah penduduk dan komuniti yang mereka wakili.

“Moga Allah balas dengan kebaikan juga hendaknya dan kalian beroleh kesejahteraan dunia akhirat, Amin,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79