Pesta Kaamatan, Hari Gawai Cerminkan Kekayaan Tradisi Yang Bernilai – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang disambut pada 30 Mei hingga 2 Jun setiap tahun sebagai simbolik keharmonian dalam kalangan masyarakat yang menyambutnya.

Beliau berkata ia khusus kepada masyarakat Kadazan, Dusun, Murut, Rungus, Dayak dan pelbagai etnik lain di Sabah dan Sarawak yang meraikan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai sebagai lambang kesyukuran kepada hasil tuaian.

“Perayaan menuai ini mencerminkan kekayaan tradisi dan warisan budaya yang sangat bernilai.

“Sambutan ini juga menjadi bukti bahawa keharmonian, toleransi dan muafakat mampu menyatukan kita sebagai satu keluarga besar tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid dalam pada itu turut berharap sambutan ini ini membawa kebaikan, kemakmuran dan masa depan yang lebih gemilang buat seluruh rakyat Malaysia, khususnya di bumi Sabah dan Sarawak.

“Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan dan Gayu Guru Gerai Nyamai!” ujar beliau.

Terdahulu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah turut sama menzahirkan ucapan selamat menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai kepada rakyat Malaysia yang meraikannya.

Seri Paduka Baginda bertitah, sambutan itu bukan sahaja merupakan tanda kesyukuran di penghujung musim menuai, malah menjadi peringatan buat seluruh rakyat.

“Agar sentiasa mensyukuri rezeki dan nikmat yang dikurniakan selaras dengan kepercayaan dan amalan masing-masing,” titah baginda.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya rakyat Malaysia yang terserlah melalui sambutan perayaan tersebut. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79